AM

ASEAN 2025: MOTAC Tumpu Usaha Promosi Tahun Melawat Malaysia 2026

30/11/2024 10:12 AM

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan memanfaatkan platform ASEAN dalam usaha mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) sekali gus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan di peringkat serantau dan global.

Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Roslan Abdul Rahman berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 akan membuka peluang strategik bagi memperkenalkan tempat pelancongan, keunikan seni, budaya dan warisan negara ke peringkat antarabangsa.

"Memang ada dalam perancangan dan kita akan melancarkan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan kita akan gunakan program yang dijalankan sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 sebaik mungkin untuk tujuan promosi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas selepas sesi taklimat ASEAN Socio-Cultural Community (ASCC) sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di sini.

Menurut beliau, MOTAC antara lain akan memperkenalkan produk pelancongan bagi VM2026 semasa Kepengerusian ASEAN-Malaysia itu berlangsung.

Malaysia akan mengambil alih Kepengerusian ASEAN secara rasmi pada 1 Jan 2025 yang bertemakan ‘Inklusiviti dan Kelestarian’ dan menganjurkan lebih 300 mesyuarat, program serta sidang kemuncak berkaitan ASEAN tahun depan.

Kempen VM2026 dijangka menarik 35.6 juta pelancong antarabangsa dengan unjuran pendapatan sebanyak RM147.1 bilion. 

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy