SUKAN

Tiada Istilah Skuad Kedua Harimau Malaya - Dollah Salleh

03/12/2024 06:29 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Bekas ketua jurulatih skuad Harimau Malaya Datuk Dollah Salleh percaya tiada istilah skuad pertama mahupun kedua membabitkan pasukan kebangsaan  itu yang bakal menggalas tugas negara pada saingan Piala ASEAN 2024 bermula Ahad ini.

Beliau berkata pemain di bawah kendalian Pau Marti Vicente yang menampilkan gandingan pemain senior dan junior sebaliknya perlu mengetepikan tanggapan tersebut serta kekal meletakkan sasaran untuk melangkah jauh dalam saingan berkenaan.

"Saya berpendapat tiada bezanya walaupun ada yang mengatakan ini sebagai pasukan kedua. Siapa (pemain) yang dipanggil bermain, itulah dia...ini peluang khasnya untuk pemain tempatan.

"Kena buktikan, jangan nanti kalah dan jadikan alasan kerana pasukan kedua. Saya percaya pemain Harimau Malaya yang bermain kali ini adalah yang terbaik," katanya ketika ditemui pada sidang media sempena Kejohanan Bola Sepak Remaja Antarabangsa Kelab Diraja Selangor (RSC)-Datuk Chu Ah Nge di Bukit Kiara, di sini hari ini.

Beliau turut menjangkakan saingan kali ini lebih sengit dengan rata-rata negara ASEAN turut mempamerkan peningkatan dan kualiti permainan.

“Kita tak boleh anggap mudah lagi. Dulu masuk kumpulan ini ada keyakinan untuk melangkah jauh, tapi sekarang mana-mana kumpulan pun tiada perbezaan. Semua pasukan mempunyai standard yang hampir sama,” katanya yang pernah memacu kejayaan skuad Harimau Malaya melangkah ke final pada edisi 2014.

Terdahulu, Kejohanan Bola Sepak Remaja Antarabangsa Kelab Diraja Selangor (RSC)-Datuk Chu Ah Nge edisi ke-18 tampil lebih meriah apabila membabitkan penyertaan 120 pasukan dari enam negara iaitu Singapura, Brunei, Maldives, Indonesia, India dan Malaysia.

Pertandingan bola sepak remaja itu yang juga sebagai langkah berterusan untuk mencungkil lebih banyak bakat muda serta seterusnya digilap ke peringkat lebih tinggi akan berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy