Daripada Nursyabiha Sukri
BEIJING, 18 Dis (Bernama) -- Dengan hanya satu panggilan telefon, isu-isu awam dapat diselesaikan tanpa perlu mengharungi kerumitan jabatan kerajaan. Inilah fungsi talian penting Beijing 12345 , satu saluran yang menghubungkan Kerajaan China dan rakyatnya.
Sebagai sebahagian daripada Forum Beijing 2024 mengenai Tindak Balas Pantas terhadap Aduan Awam, wakil-wakil media antarabangsa termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) diberi peluang untuk melihat secara langsung bagaimana talian ini merevolusikan perkhidmatan awam.
Talian penting yang mula beroperasi sejak 2019 ini dikendalikan oleh 1,710 operator telefon, menyediakan perkhidmatan sepanjang masa dan menguruskan purata 65,000 panggilan setiap hari.
"Setiap operator bekerja selama lapan jam setiap syif, menjawab 80 hingga 100 panggilan sehari, menunjukkan semangat, kesabaran, ketelitian, kecekapan, profesionalisme dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi," menurut jurucakap pasukan penganjur forum berkenaan.
Sistem ini membolehkan warga Beijing mengelakkan kerumitan mencari jabatan yang tepat. Sebaliknya, mereka hanya perlu menghubungi 12345 untuk menyelesaikan masalah mereka.
Meja tugas memaparkan jumlah permintaan harian, dengan sistem pemantauan dan pengurusan masa nyata untuk memastikan kecekapan.
"Talian penting 12345 menangani setiap maklum balas dengan proses bertaraf tinggi, menegakkan konsep memenuhi permintaan setiap masa dan di semua saluran. Rakyat boleh melaporkan masalah pada bila-bila masa, di mana sahaja dan menyampaikan kebimbangan mereka sepenuhnya," kata jurucakap itu.
Beliau berkata talian bantuan ini dijangka menangani sehingga 24 juta aduan rakyat tahun ini, melebihi jumlah keseluruhan populasi bandar itu.
Talian ini juga menerima panggilan daripada warga asing yang menghadapi masalah, dengan perkhidmatan 24 jam dalam Bahasa Inggeris serta pelbagai bahasa asing lain.
Melalui sistem komunikasi tiga pihak, sukarelawan membantu dengan penterjemahan, memberikan maklumat dasar, dan membantu menyelesaikan kebimbangan.
Beliau turut menyatakan bahawa semua operator talian bantuan ini boleh mengakses perkhidmatan bahasa asing, manakala integrasi teknologi Kecerdasan Buatan (AI) meningkatkan lagi kecekapan perkhidmatan.
Talian ini juga memenuhi keperluan perusahaan dengan 13 langkah pengoptimuman yang direka untuk menangani keperluan khusus mereka, memastikan sokongan 24 jam untuk perniagaan.
Forum dua hari, yang bermula pada Rabu, di Pusat Konvensyen Nasional China di sini, mempamerkan pelbagai pencapaian termasuk penilaian global terhadap perkhidmatan talian bandar, kisah kejayaan tadbir urus dan contoh terbaik tadbir urus bandar.
Bertemakan "Memodenkan Tadbir Urus Bandar Berpaksikan Rakyat", forum ini dianjurkan bersama oleh Akademi Sains Sosial China, Kumpulan Media China (CMG), Jawatankuasa Parti Perbandaran Beijing dan Kerajaan Perbandaran Beijing.
-- BERNAMA