RENCANA

Capai Keseimbangan Pertumbuhan Ekonomi Dan Pemuliharaan Laut Menerusi Ekonomi Biru

23/12/2024 08:55 AM

Artikel kedua daripada laporan dua bahagian tentang pemuliharaan habitat marin di Malaysia menumpukan pada ekonomi biru serta perlunya sektor korporat menggemblengkan inisiatif hijau bagi melindungi ekosistem lautan.

 

Ekonomi biru memainkan peranan yang semakin penting dalam pembangunan lestari, bertujuan menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi dengan pemuliharaan ekosistem laut.

Ia meraih pengiktirafan global, khususnya daripada badan-badan seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Bank Dunia, atas potensinya dalam mewujudkan masa depan yang mampan dan berdaya tahan.

Asia Tenggara termasuk Malaysia, terlibat secara aktif dalam membawa pendekatan ini. Rantau ini sangat bergantung pada industri berasaskan lautan seperti perikanan, pelancongan dan perkapalan yang disokong oleh kekayaan biodiversiti marinnya.

Bank Dunia mentakrifkan ekonomi biru sebagai penggunaan secara mampan sumber lautan bagi pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan mata pencarian serta pekerjaan sambil memelihara kesihatan ekosistem lautan.


OceanX Team Member Nick Smith (right) giving a briefing during the media visit aboard the OceanX scientific research vessel.

Sebagai sebuah negara maritim dengan pantai sepanjang  4,675 kilometer selain memiliki lebih 870 buah pulau, pembangunan sumber laut dan marin yang mampan akan memberi kesan limpahan positif yang ketara kepada pemacu sosioekonomi negara, seperti yang dikenal pasti dalam Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025) .

Menurut Akademi Sains Malaysia (terletak di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi), ekosistem ekonomi biru yang rancak diunjur berpotensi meningkatkan sumbangan sumber marin dan lautan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar daripada 21.3 peratus pada 2020 kepada 31.5 peratus atau RM1.4 trilion pada 2030.

 

INISIATIF HIJAU

Kejayaan pendekatan ekonomi biru bergantung bukan sahaja pada tindakan individu dan kerajaan tetapi juga syarikat yang mengakui tanggungjawab dan potensi mereka untuk melaksanakan langkah-langkah yang boleh mengurangkan jejak ekologi masing-masing.

Pengasas pertubuhan tidak berasaskan keuntungan Save Our Seahorses Malaysia Dr Adam Lim Chee Ooi, lebih dikenali sebagai Dr Seahorse, berkata beliau mendapati lebih banyak syarikat Malaysia yang menggemblengkan inisiatif hijau dalam operasi mereka, termasuk membiayai projek pemuliharaan, melantik pengurus kelestarian dan melaksanakan langkah mesra alam di tempat kerja.

“Usaha-usaha terbaharu juga melibatkan pelaporan dan pengurusan karbon, menubuhkan dana pemuliharaan dan menyediakan insentif cukai untuk teknologi hijau,” katanya kepada Bernama. "Tumpuan kini adalah untuk meningkatkan penerimaan dalam kalangan perniagaan."

Northport (Malaysia) Bhd yang berpangkalan di Pelabuhan Klang dan mengoperasikan satu daripada pelabuhan pelbagai guna terbesar di negara ini, telah membangunkan Kemudahan Penerimaan Pelabuhan (PRF) bagi menguruskan sisa daripada kapal dan mencegah pelupusan haram di laut.

Sementara itu, Westports Holdings Bhd dengan kerjasama Yayasan Hijau Malaysia dan Gerbang Maritim Selangor, telah melancarkan inisiatif Selangor Environmental Conservation and Cultural Alliances  bagi melindungi hutan bakau, hidupan liar marin dan komuniti Orang Asli.

 

INSIDEN TUMPAHAN MINYAK

Sementara itu, mengulas tentang kepentingan mencegah dan membersih tumpahan minyak dengan cepat, Prof Madya Dr Maizah Mohd Abdullah daripada Universiti Malaysia Terengganu, berkata minyak yang tertumpah merupakan bencana kepada terumbu karang kerana ia menghalang cahaya matahari dan oksigen, menjejaskan fotosintesis dan pernafasan polip karang.

“Gangguan ini boleh membawa kepada pelunturan karang, mengurangkan kepelbagaian spesies dan kerugian ekonomi dalam industri pelancongan dan perikanan.


OceanX team member Nick Smith (right) delivers a briefing during a media visit aboard the OceanX scientific research vessel at Port Klang Cruise Terminal (PKCT), Pulau Indah, recently.

“Spesies terancam marin seperti penyu laut dan dugong turut terjejas teruk. Sisa minyak mencemarkan habitat mereka, mengganggu pantai tempat bertelur dan mengancam kadar kemandirian,” katanya.

Lim, memetik data daripada Jabatan Alam Sekitar, berkata Malaysia merekodkan 63 kejadian tumpahan minyak sejak 2018.

Tentang tumpahan minyak yang berlaku di Johor pada Jun tahun ini susulan insiden melibatkan sebuah kapal tangki Singapura, Marine Honour, Maizah berkata kejadian itu menjejaskan pantai Johor dan membawa impak ke atas Pengerang.   

“Insiden itu mengakibatkan kira-kira 400 tan bahan api marin bocor ke perairan sekitar Singapura dengan sebahagian merebak ke perairan Malaysia berhampiran Pengerang. Tumpahan itu menyebabkan kesan minyak yang ketara di garis pantai sepanjang satu kilometer, menjejaskan pantai di Sungai Rengit dan Teluk Ramunia.

“Bagaimanapun, pihak berkuasa Malaysia bertindak pantas membersihkan tumpahan dengan mengkoordinasikan pelbagai agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar Johor, Jabatan Laut dan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Maizah turut menekankan kepentingan koordinasi rentas sempadan dan tindak balas pantas dalam mengurangkan pencemaran marin dan bagaimana tindakan tangkas agensi Malaysia berjaya meminimumkan kerosakan ekologi, melindungi ekosistem tempatan dan menyokong komuniti perikanan yang terkesan.

MOWReP atau  Malaysia Oiled Wildlife Response Plan yang diwujudkan pada  2021, juga antara langkah signifikan dalam menangani kesan daripada insiden tumpahan minyak.

(Oiled wildlife ialah istilah yang merujuk haiwan terjejas oleh tumpahan minyak.) 

MOWReP bertujuan meminimumkan kesan tumpahan minyak ke atas haiwan, populasi dan habitat mereka dengan mengerahkan pasukan respons khas serta memupuk kerjasama dalam kalangan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti tempatan dalam menguruskan hidupan liar yang terkena minyak.

Walau bagaimanapun, cabaran masih wujud, terutamanya dalam mengendalikan tumpahan berskala besar yang memerlukan sumber besar.

 

DASAR

Di Malaysia, kerajaan sedang menggubal Pelan Tindakan Ekonomi Biru Malaysia untuk mengoptimumkan penggunaan sumber laut, memacu pertumbuhan ekonomi dan menyokong pembangunan sosioekonomi sambil memelihara ekosistem marin.

Kementerian Ekonomi memulakan kajian selama 12 bulan itu pada Ogos tahun ini untuk membangunkan rangka kerja dan strategi ekonomi biru, dengan tumpuan pada industri perikanan dan akuakultur serta sektor pelancongan maritim.


Science Program Director of OceanX, Mattie Rodrigue delivering a briefing on the machinery used in marine research.

Maizah menekankan keperluan penemuan saintifik untuk merapatkan jurang aktiviti ekonomi dan kemampanan, khususnya dalam mengurangkan tumpahan minyak serta menggalakkan dasar pelabuhan hijau.

"Penyelidikan saintifik memainkan peranan penting dalam memajukan sistem pengesanan, model ramalan dan penyelesaian mitigasi mesra alam untuk mengurangkan kekerapan dan kesan tumpahan minyak," jelasnya.

Beliau juga berkata pemuliharaan biodiversiti marin boleh bermula dengan langkah mudah seperti mengehadkan kelajuan bot di kawasan marin yang terancam.

Sambil memberi amaran bahawa perluasan pesat pelabuhan boleh menjejaskan penghijrahan megafauna marin seperti ikan lumba-lumba, beliau menekankan kepentingan mempunyai dasar seperti inisiatif pelabuhan hijau yang dibangunkan melalui penglibatan penyelidik dan pihak berkepentingan kerajaan.

Sementara itu, penekanan yang semakin meningkat terhadap inisiatif hijau, pemuliharaan marin dan ekonomi biru mewujudkan peluang kerjaya yang pelbagai buat ahli biologi marin di peringkat global, rantau dan di Malaysia.

Negara anggota ASEAN termasuk Malaysia, melabur dalam amalan marin yang mampan, memacu permintaan terhadap ahli biologi marin dalam sektor seperti operasi pelabuhan dan perkapalan.

Mereka juga boleh mencari peluang dalam pelancongan marin, terutamanya di ekoresort seperti Alunan Resort di Pulau Perhentian, Terengganu, di mana mereka membimbing pengunjung tentang aktiviti menyelam dan snorkeling yang lestari.

Selain itu, penyelidikan yang dijalankan oleh ahli biologi marin tentang kesan perubahan iklim menyediakan data penting untuk penggubalan dasar.

“Perkembangan ini membuka ruang baharu buat ahli biologi marin yang ingin menyumbang kepada pemuliharaan dan kelestarian,” kata Lim daripada Save Our Seahorses Malaysia.

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy