SUKAN

Srikandi Silat Labuan Bersinar Di Pentas Global

24/12/2024 06:03 PM

LABUAN, 24 Dis (Bernama) -- Arena sukan Labuan mencatat pencapaian membanggakan apabila dua atlet silatnya merangkul pingat emas dan gangsa pada Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-20 di Abu Dhabi yang berlangsung pada 18 hingga 22 Dis lepas.

Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Labuan Mohd Khairul Ghani berkata Siti Shazwana Ajak, 32, memberikan persembahan hebat dalam tempur yang membutirkan emas manakala Nur Nabila Hartono, 24, membawa pulang gangsa menerusi acara sama.

“Kemenangan ini meletakkan Labuan pada peta silat antarabangsa…untuk sekian lama, atlet kita telah menyumbang kepada pencapaian sukan negara khususnya dalam silat, menyertai dan mencipta kecemerlangan dalam banyak kejohanan kebangsaan dan antarabangsa,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Khairul turut mengetengahkan peranan penting bakat sukan Labuan kepada kejayaan silat negara. 

“Ahli silat tempatan kita, Hamidah Mulok, berkhidmat sebagai jurulatih kebangsaan, ini menunjukkan meskipun sebuah pulau kecil, Labuan terus memberi impak signifikan kepada arena sukan negara,” katanya.

Menurutnya Siti Shazwana menceburi sukan silat sejak 2011 dan menyertai skuad kebangsaan pada 2017.

Srikandi itu katanya telah meraih banyak kejayaan termasuk memenangi pingat emas pada Kejohanan Pencak Silat Asia 2022, Kejohanan Pencak Silat Asia Tengah 2022 dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2027 selain memperoleh perak pada Kejohanan Silat Dunia 2020 dan gangsa pada Kejohanan Pencak Silat Dunia 2018.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy