GAYA HIDUP

June Dan Keluarga Jadi "penghibur" Pengunjung Di Zoo Taiping

29/12/2024 04:20 PM

Oleh Fadzlina Abu Bakar Sidek

TAIPING, 29 Dis (Bernama) -- Baru berusia enam bulan dan sedang belajar makan, June si badak air, pintar menuruti gaya abangnya Atan serta ibu bapa mereka, Lek dan April, menunggu di bibir kolam yang menjadi kediaman mereka sambil mengangakan mulut.

Satu demi satu, ikatan rumput napier, sayur-sayuran dan buah-buahan dicampak ke dalam mulut empat beranak itu  oleh penjaga mereka Muhammad Shahrul Izwan Muhammad Azhari, 27.

Selepas makan, Atan pantas berenang kembali ke dasar kolam, dituruti si adik yang bagaikan tidak mahu berenggang.

Keletah keluarga badak air daripada spesies Nil atau nama saintifiknya Hippopotamus amphibius itu menggamit pengunjung Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) yang jelas terhibur, khususnya melihat “kecomelan” June.

Menurut Muhammad Shahrul Izwan, anak badak air betina itu dilahirkan pada 5 Jun lepas oleh Lek, badak air berusia 32 tahun selepas mengawan dengan April yang berumur 22 tahun.

pic-2

“Atan pula dilahirkan oleh Lek pada 2016.

“June baru sahaja bercerai susu dan sedang belajar makan. Sebelum ini dia hanya menyusu daripada induknya,” katanya kepada Bernama.

Muhammad Shahrul Izwan yang telah lapan tahun menjaga haiwan itu, berkata tidak sukar untuk menguruskan mamalia berkenaan namun segala tugas perlu dilakukan secara berhati-hati, terutamanya ketika membersihkan sekitar kolam, kerana badak air merupakan haiwan agresif selain pantas. 

"Apabila badak air nampak kita masuk ke dalam kurungan mereka, ia akan berlari laju ke arah kita dan apa yang kami lakukan ialah seorang pekerja lain akan beri haiwan ini makan bagi mengalihkan perhatian mereka semasa saya mengemas kandang,” katanya.

Menurut lelaki ini, keluarga badak air itu makan sekitar 50 kilogram sayur-sayuran dan buah-buahan setiap kali waktu makan, iaitu empat kali sehari.

pic-3

Sementara itu, Pengarah ZTNS Dr Muhamad Ridhwan Affendi berkata June menjadi tarikan pengunjung zoo tersebut yang terhibur melihat telatahnya. 

“Badak air melakukan 90 peratus aktivitinya di dalam air, termasuk mengawan, beranak dan menyusukan anak.

“June juga dilahirkan dan dibesarkan di dalam air. Kami cuma nampak June ikut ibunya naik ke darat selepas beberapa minggu dilahirkan,” katanya.

Menurut beliau, pihak zoo juga meletakkan ikan keli Afrika di dalam kolam badak air berkenaan yang bertindak sebagai “doktor gigi” buat mamalia itu. 

"Ikan keli masuk ke dalam mulut badak air yang ternganga luas dan membersihkan sisa-sisa makanan yang terdapat di sekitar mulut dan gigi badak air itu," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy