AM

Loong Air Lancar Penerbangan Dari Xi’an Ke Pulau Pinang

30/12/2024 10:20 PM

GEORGE TOWN, 30 Dis (Bernama) -- Syarikat penerbangan Loong Air hari ini melancarkan laluan baharu yang menghubungkan Xi'an, China dan Pulau Pinang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) di sini.

Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia Datuk Yeoh Soon Hin berkata laluan Xi'an-Pulau Pinang itu adalah hasil kerjasama erat antara Kementeiran Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kementerian Pengangkutan (MOT).

“Laluan baharu ini adalah antara strategi Loong Air untuk memperluaskan capaian antarabangsa serta hasil daripada usaha Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing semasa lawatan rasminya ke China. 

“Saya percaya laluan terus antara Xi’an dan Pulau Pinang ini akan membuka pasaran di bahagian barat laut China kepada sektor pelancongan Pulau Pinang dan pada masa sama ia memberi peluang kepada pengembara dari barat laut China meneroka pelancongan tropika di Asia Tenggara,” katanya selepas menyambut ketibaan penerbangan sulung di PIA hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk P. Manoharan dan Naib Konsul Jeneral China ke Pulau Pinang Ding Qiao.

Dalam pada itu, Yeoh berkata proses bagi syarikat penerbangan asing memohon untuk mendapatkan laluan baharu telah dipermudahkan hasil kerjasama dengan MOT, sekali gus menjadi sokongan penting kepada pengenalan penerbangan baharu itu. 

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Loong Air, Wilayah Xi’an Province dan semua rakan kerjasama kami yang menjadikan laluan ini satu kenyataan. Usaha anda amat penting ketika kami bersiap sedia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi utama,” katanya. 

Beliau berkata dasar bebas visa yang dilanjutkan oleh kerajaan Persekutuan hingga Disember 2026, bersama-sama dengan peningkatan perhubungan antara Malaysia dan China dijangka melonjakkan lagi jumlah ketibaan pelancongan serta mengukuhkan lagi pertukaran budaya antara kedua-dua negara. 

Laluan baharu Xi’an-Pulau Pinang oleh Loong Air itu akan melibatkan pesawat Airbus A320, dengan penerbangan dijadual dua kali seminggu iaitu pada Isnin dan Jumaat dengan kapasiti 168 tempat duduk.

Penerbangan GJ8005 akan berlepas dari Xi’an pada 1.30 tengah hari (waktu tempatan) menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Xianyang dan tiba di Pulau Pinang pada 7 malam, dengan tempoh penerbangan kira-kira lima jam 20 minit.

Bagi penerbangan balik GJ8006 pula, akan berlepas dari Pulau Pinang pada 8 malam dan tiba di Xi’an pada 12.50 tengah malam (waktu tempatan ) keesokan harinya, dengan anggaran tempoh penerbangan empat jam 50 minit. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy