KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Ketua jurulatih perseorangan negara yang baharu Kenneth Jonassen teruja untuk memperkenalkan gabungan gaya permainan Asia dan Eropah kepada pemain selepas memulakan tugasnya secara rasmi hari ini.
Legenda badminton Denmark itu berkata beliau bertanggungjawab membantu setiap pemain mengembangkan potensi penuh mereka dan memastikan mereka sentiasa bermotivasi.
“Saya mahu mengadakan perbincangan bersemuka dengan setiap pemain, jurulatih dan pasukan kejurulatihan sebelum membuat sebarang perubahan. Segalanya akan berjalan seperti biasa untuk dua atau tiga minggu ini kerana saya mahu memahami pemain, jurulatih dan idea di sebaliknya serta apa yang memberi motivasi kepada mereka.
“Saya sedang menyesuaikan diri dengan beberapa idea kerana memahami semuanya adalah kunci dan motivasi terbaik untuk kita bergerak ke hadapan. Saya bersyukur berada di sini tetapi tidak bermaksud untuk memberikan impak serta-merta, hanya berbincang dengan mereka secara individu dan kolektif sebagai satu pasukan,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara hari ini.
Sementara itu mengenai Leong Jun Hao yang menjadi wakil tunggal perseorangan lelaki di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) layak beraksi di Terbuka Malaysia 2025, Jonassen berkata beliau akan berada bersama dengan K Yogendran di kerusi jurulatih ketika aksi pemain itu.
Beliau juga mengakui yang Jun Hao akan berdepan cabaran sukar pada kejohanan berstatus Super 1000 berdasarkan undian pusingan pertama berdepan wakil China Lu Guang Zu, namun pertemuan itu pasti menarik.
Menurut Jonassen, beliau juga akan mengenal pasti situasi Ng Tze Yong yang masih lagi trauma dengan kecederaan belakang dialaminya sebelum mengambil sebarang langkah membantu pemain berusia 25 tahun itu.
“Saya rasa ia perkara biasa bagi mana-mana pemain yang telah melalui pembedahan, mereka akan berhati-hati semasa kembali ke tahap tertinggi. Saya mahu berbincang dan mendengar daripada pihaknya, perasaannya dan pendapatnya,” katanya.
Tze Yong terlepas peluang untuk membuat penampilan pertamanya di Sukan Olimpik 2024 selepas BAM mengesahkan beliau belum pulih sepenuhnya untuk menjalani latihan dan kejohanan intensiti tinggi kerana risiko kecederaan belakangnya bertambah teruk.
Kecederaan dialaminya bermula pada Terbuka Malaysia 2024, apabila mengalami otot belakang terkoyak, diikuti kecederaan tulang belakang pada Kejohanan Berpasukan Asia (BATC) tahun lepas yang memerlukannya menjalani beberapa siri pembedahan.
Jonassen, 51, mempunyai rekod prestasi yang terbukti telah memainkan peranan penting dalam membentuk legasi Denmark selama 13 tahun sebagai jurulatih.
Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai ketua jurulatih England.
Bekas pemain nombor dua dunia dalam perseorangan lelaki, memenangi gelaran berprestij seperti Terbuka Jerman, Korea, Belanda dan Singapura semasa karier bermainnya.
Sebagai sebahagian daripada peranannya, Jonassen akan bekerjasama rapat dengan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky untuk merangka pelan pembangunan jangka panjang program perseorangan Malaysia.
-- BERNAMA