ALOR GAJAH, 4 Jan (Bernama) -- Polis sedang giat mengesan tayar yang dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 204 (KM204) Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara pada 23 Dis.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah berkata antara usaha itu termasuklah sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Alor Gajah telah pergi ke Pejabat PLUS Tangkak untuk bertemu dengan Pegawai Operasi Projek Penyelenggaraan Lebuhraya (PROPEL).
"Pegawai Operasi PROPEL menyatakan bahawa mereka tidak menemui tayar lori treler di lokasi kejadian dan pegawai berkenaan telah memberi maklumat bahawa sampah-sampah di lokasi kemalangan telah dibawa oleh sebuah lori Roro.
"Selain itu, pihak kita juga telah mendapatkan keterangan pemandu lori Roro yang membawa sampah-sampah ke tempat pelupusan di Segamat dan keterangan pemandu lori subkontraktor (PROPEL) yang menjalankan pembersihan di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ashari berkata pada malam kejadian, pihak polis dan PLUS tidak mempunyai maklumat berkaitan punca kejadian dan banyak bertumpu kepada misi menyelamat.
"Namun setelah tular rakaman kamera papan pemuka dan keterangan pemandu lori memaklumkan tayar lorinya tercabut dan tergolek di lorong tengah serta bas telah terlanggar tayar terbabit, barulah pihak polis mencari tayar berkenaan.
"Setelah selesai kerja-kerja membersihkan sisa kemalangan, memang tidak menemukan tayar itu dan berkemungkinan juga pemandu berkenaan ambil semula tayar itu... dan ini yang kita sedang usahakan,” katanya sambil menambah usaha mencari dan mengesan tayar berkenaan akan disambung hari ini di Tangkak dan Segamat.
Terdahulu, media melaporkan tujuh maut manakala 33 cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan MPV di KM204 Lebuhraya PLUS arah utara baru-baru ini.
Siasatan awal mendapati bas persiaran terbabit terlanggar tayar lori yang tercabut di lorong tengah dan menyebabkannya hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan tiga kenderaan hingga menyebabkan lima penumpang Toyota Estima dan pemandu serta penumpang bas berkenaan meninggal dunia.
-- BERNAMA