AM

ASEAN 2025: KPKT Sasar Tingkat Kedudukan Malaysia

13/01/2025 03:25 PM

PUTRAJAYA, 13 Jan (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan untuk meningkatkan kedudukan Malaysia di persada dunia bertepatan peranan negara selaku Pengerusi ASEAN 2025 serta membida jawatan Presiden Perhimpunan UN-Habitat PBB. 

Menterinya Nga Kor Ming berkata KPKT bersedia menjadi tuan rumah Forum Pembandaran Mampan ASEAN, Forum Datuk Bandar ASEAN, Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Negara ASEAN, Sidang Kemuncak Hartanah ASEAN dan Mesyuarat Tahunan Rangkaian Bandar Pintar ASEAN.

"Dunia sedang memerhati kita, dan kita mesti memperlihatkan apa yang kita boleh tawarkan. Untuk membawa kementerian ke tahap lebih tinggi, kita mesti meningkatkan kualiti perkhidmatan awam dengan memperkukuh amalan integriti dan menggalakkan maklum balas jujur," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan mesyuarat perancangan strategik kementerian yang berlangsung selama tiga hari.

Selain itu, melalui kementerian Malaysia sedang membida jawatan Presiden Perhimpunan Agung UN-Habitat bagi penggal 2026-2029.

Mengenai mesyuarat itu, KPKT telah merangka kira-kira 122 pelan tindakan bagi 2025 dengan tumpuan utama untuk membentangkan Akta Pembaharuan Semula Bandar bagi tujuan membangunkan semula kawasan bandar yang usang.

Mesyuarat itu turut menumpukan beberapa keutamaan utama, termasuk penguatkuasaan hukuman khidmat masyarakat bagi kesalahan membuang sampah serta penempatan masyarakat India yang diletakkan di bawah bidang kuasa kementerian. 

Kementerian juga menyasarkan membangunkan bakat peringkat tinggi atau pakar dalam bidang tertentu untuk menyampaikan perkhidmatan awam berkualiti tinggi kepada rakyat.

KPT turut menetapkan matlamat menjadi peneraju global dalam pembangunan bandar yang mampan dengan memainkan peranan di peringkat nasional dan antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy