AM

Malaysia Terajui Kemampanan Masa Depan ASEAN Menerusi Tiga Inisiatif Utama - Fadillah

13/01/2025 03:32 PM

PETALING JAYA, 13 Jan (Bernama) -- Malaysia akan memperjuangkan tiga inisiatif transformasi iaitu penyahkarbonan tenaga, perlindungan biodiversiti dan ketersambungan ekonomi bagi melakar hala tuju yang jelas untuk masa depan ASEAN ke arah merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata usaha berkenaan bukan sahaja penting untuk mencapai matlamat pembangunan bersama, tetapi juga akan meletakkan ASEAN sebagai peneraju global dalam kemampanan dan berdaya tahan.

“Keutamaan ini mencerminkan hasrat kita bersama-sama untuk mewujudkan ASEAN yang makmur, mampan dan saling terhubung, namun untuk mencapai matlamat ini memerlukan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat awam.

“Ia menuntut agar kita memanfaatkan kekuatan bersama sebagai sebuah rantau, menerima inovasi, daya tahan dan keterangkuman,” katanya berucap pada Bengkel Pembangunan Lestari ASEAN 2025 di Universiti Sunway di sini hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang dalam lawatan kerja tiga hari ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Turut hadir Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn dan Pengerusi Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-SDSN) bahagian Malaysia yang juga pengasas dan pengerusi Kumpulan Sunway Tan Sri Dr Jeffrey Cheah.

Mengenai usaha penyahkarbonan tenaga, Fadillah berkata keutamaan pertama ialah peralihan kepada grid tenaga rendah karbon yang saling terhubung yang dipacu terutamanya oleh sumber tenaga boleh diperbaharui.

Beliau berkata transformasi berkenaan bukan sekadar satu keperluan alam sekitar, tetapi juga keperluan strategik dan ia merupakan kunci untuk mencapai sasaran penyahkarbonan di samping memastikan keselamatan tenaga di seluruh rantau ini.

“Untuk mencapai matlamat ini, kita perlu melaksanakan analisis strategik dan pemetaan untuk menilai permintaan tenaga semasa dan unjuran, mengenal pasti kapasiti sumber tenaga boleh diperbaharui, serta menilai infrastruktur penghantaran yang sedia ada bagi menangani sebarang kekurangan," katanya.

Berkaitan inisiatif perlindungan biodiversiti, Fadillah berkata diharapkan di bawah Malaysia selaku pengerusi, Pusat Biodiversiti ASEAN dapat diperkukuh untuk menyelaraskan usaha pemuliharaan, menyelaras dasar-dasar negara, dan merangka perjanjian perlindungan biodiversiti yang akan mewajibkan negara anggota kepada amalan penggunaan tanah yang mampan.

Bagi usaha ketersambungan ekonomi, beliau berkata Malaysia akan menumpukan kepada pembangunan infrastruktur yang lebih bersepadu dan moden bagi mengukuhkan integrasi ekonomi dan ketersambungan ASEAN.

Antara inisiatif yang perlu diterokai secara aktif, katanya termasuk pembangunan kereta api berkelajuan tinggi untuk menghubungkan bandar-bandar utama ASEAN, pelabuhan hijau serta perkapalan, serta penyediaan akses 5G secara menyeluruh di kawasan bandar dan luar bandar untuk merapatkan jurang digital.

“Ini sudah tentunya melibatkan pelaburan besar dalam infrastruktur dan kita perlu meneroka mekanisme pembiayaan inovatif seperti melalui kerjasama awam-swasta, yang dapat menarik pelaburan dari peringkat serantau dan antarabangsa.

“Dengan mempertingkat infrastruktur kita, kita dapat mengurangkan halangan perdagangan, merangsang pertumbuhan ekonomi, dan meletakkan ASEAN sebagai peneraju global dalam ketersambungan dan inovasi," katanya.

Malaysia secara rasminya menjadi Pengerusi ASEAN pada 1 Jan lepas menandakan kali kelima memegang jawatan itu selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy