Kwai Chai Hong, lorong bersejarah di Chinatown di sini, meraikan ketibaan Tahun Baharu Cina kali ini dengan hiasan seni tanglung dinamakan “Bountiful Blessings”, yang diinspirasikan daripada ikan.
Kwai Chai Hong dalam bahasa Kantonis bermaksud “Lorong Hantu Kecil” dahulunya adalah lorong terabai yang terletak di antara Lorong Panggung dan Jalan Petaling, namun kini menjadi tarikan pelancong.
Diuruskan oleh Bai Chuan Management Sdn Bhd, Kwai Chai Hong menjadi venue pameran seni berbeza pada setiap sambutan Tahun Baharu Cina dengan mengetengahkan tema berkaitan kepercayaan dan kebudayaan kaum Tionghua.
Kali ini pameran diadakan dengan kerjasama Bangsar Heights Pavilion (BHP).
Menurut Pengarah Urusan Bai Chuan Management Zee Chang, hiasan seni kali ini bertujuan mendidik pengunjung tentang konsep perkongsian keberkatan dan kemurahan hati menerusi tanglung berbentuk ikan.
“Pada sambutan Tahun Baharu Cina, ikan merupakan hidangan yang wajib ada di atas meja, terutama ketika acara ‘makan besar’ pada petang sebelum perayaan. Ini kerana, ikan dalam masyarakat Cina dikaitkan dengan keberkatan yang melimpah-ruah.
“Kepercayaan ini berasal daripada sebutan ikan dalam bahasa Mandarin, iaitu ‘yu’ bermakna ‘kelimpahan’, sepertimana dalam peribahasa Cina ‘nian nian you yu’, bermaksud ‘sentiasa ada lebihan setiap tahun,” katanya kepada Bernama.
Jelasnya, peribahasa ‘nian nian you yu’ lebih kepada harapan seseorang untuk memperoleh keberkatan sebanyak-banyaknya, namun kali ini tema Kwai Chai Hong berkisar pada perkongsian keberkatan itu dengan orang lain.
Tambah beliau, hidangan seekor ikan semasa makan besar mewakili limpahan keberkatan, kemakmuran dan kekayaan yang dikongsikan dengan kaum keluarga, mencerminkan perpaduan dan harapan rezeki berlebihan pada tahun mendatang.
"Saiz ikan itu juga dilihat sebagai cerminan keberkatan yang akan diterima. Lagi besar saiz, lagi baik,” katanya.
KEINDAHAN TANGLUNG IKAN
Sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke Kwai Chai Hong, iaitu bermula di Blessing Bridge, pasti akan terpesona dengan deretan tanglung aneka warna yang turut memaparkan inskripsi ucapan selamat dan harapan.
Ketika melalui Blessing Bridge, sebaiknya pengunjung berhenti sejenak bagi menghayati limpahan rahmat yang dinikmati selama ini.
Di hujung jambatan, pelawat akan disambut dengan hiasan 26 tanglung ikan berwarna-warni pelbagai saiz yang dihasilkan menerusi teknik tradisional dengan sentuhan moden.
Chang berkata tanglung-tanglung tersebut diperbuat daripada kerangka logam dan diterangi lampu LED yang cekap tenaga, mewakili keharmonian antara warisan dan inovasi yang merupakan pendekatan tersendiri Kwai Chai Hong dalam pemeliharaan budaya.
"Sejak sekian lama tanglung ikan menjadi sebahagian daripada warisan budaya Cina, meraikan kemakmuran, ketabahan dan harapan yang pada asalnya digunakan semasa pesta seperti Pesta Tanglung. Kemudian tradisi ini digembleng menjadi simbol utama sambutan Tahun Baharu Cina.
“Artisan menghasilkan tanglung ini secara buatan tangan dengan kemahiran yang selalunya diturunkan dari satu generasi ke satu generasi, menjadikannya sebahagian daripada warisan budaya tidak ketara Cina yang diiktiraf oleh UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu),” katanya.
BAWA KELUAR “IKAN” DARI TAPAK PAMERAN
Selain menyaksikan keindahan pameran, Chang berkata pelawat juga boleh menyertai Perarakan Tanglung Ikan di sekitar Kwai Chai Hong bermula 7 malam, Sabtu ini.
“Buat pertama kali, kami ingin pelawat melalui suasana membawa kraf ini keluar dari venue pameran. Sebelum ini, pameran hanya untuk ditonton.
“Dengan membawa tanglung-tanglung ini, pelawat berpeluang menjadi sebahagian daripada tradisi, menzahirkan kesyukuran dan semangat perkongsian,” katanya, menambah mereka juga berhasrat menjadikan tradisi itu relevan buat semua rakyat Malaysia.
Selain daripada tarikan artistik, perarakan membawa tanglung juga merupakan simbol meraikan kedatangan tahun yang makmur dengan "menolak” tenaga negatif dan nasib malang, katanya, menambah perarakan akan berlangsung selama sejam dengan diiringi persembahan dram Cina.
MENGHAYATI WARISAN CINA
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif BHP Aaron Yap berkata kerjasama BHP dan Bai Chuan Management tersebut selaras dengan falsafah syarikat untuk mewujudkan pelaburan mampan yang memberikan nilai jangka panjang sambil meraikan dan memperkaya warisan komuniti Cina.
'Kami terpesona dengan cara Kwai Chai Hong menghormati tradisi Cina, dan kami sangat gembira dapat menjadi rakan penganjur pameran tahun ini.
“ Bountiful Blessings menggambarkan harapan kami untuk berkongsi kegembiraan, memberi dengan ikhlas dan menyebarkan kemakmuran kepada semua,” katanya.
Jelasnya, penggunaan lampu mudah alih moden pada tanglung ikan tradisional itu juga sebagai tanda mereka menghormati kekayaan budaya Cina sambil memastikan ia kekal relevan untuk generasi akan datang.
'Ini selaras dengan pendekatan BHP yang menggabungkan warisan dengan inovasi, mencipta pengalaman bermakna yang menginspirasikan hubungan dan rasa syukur,” katanya.
Pameran 'Bountiful Blessings' dibuka secara percuma kepada orang ramai sejak 10 Jan lalu hingga 16 Feb ini, dari 9 pagi hingga 12 tengah malam.