JOHOR BAHRU, 17 Jan (Bernama) -- Polis menahan empat individu dan merampas pelbagai dadah bernilai RM4.03 juta dalam serbuan di dua kondominium mewah di sekitar bandar raya ini pada 10 dan 11 Jan lepas.
Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar berkata mereka terdiri daripada dua lelaki tempatan dan dua wanita warga Vietnam berusia antara 20 hingga 30 tahun.
Beliau berkata modus operandi sindiket yang dipercayai aktif sejak Oktober tahun lepas itu adalah dengan menjadikan dua unit kondominium itu sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan dadah sebelum barang larangan itu diedar di sekitar daerah ini.
"Bekalan dadah dipercayai diperoleh dari utara tanah air dan diadun semula, sebelum dibungkus menggunakan peket kecil berjenama minuman tempatan serta corak tiga dimensi (3D) untuk mengaburi pihak berkuasa," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata dadah dirampas terdiri daripada 28.82 kilogram serbuk ekstasi, 296 gram ketamin dan 13.20 gram pil erimin 5.
Polis katanya turut menyita pelbagai peralatan dipercayai untuk membungkus semula dadah, sebuah kereta, pelbagai barangan kemas serta wang tunai RM2,761 dan dolar Singapura S$200.
Kumar berkata semakan mendapati seorang daripada lelaki itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
Beliau berkata kesemuanya kini direman bermula 11 Jan lepas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA