BUKIT MERTAJAM, 17 Jan (Bernama) -- Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru golongan wanita negara ini untuk menjalani saringan ujian papilomavirus manusia (HPV) DNA yang disediakan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dalam usaha mencegah kanser serviks.
Beliau berkata saringan berkenaan bagi meningkatkan kesedaran semua pihak, khususnya golongan wanita mengenai kesihatan pangkal rahim selain pentingnya melakukan pengesanan awal, dan wanita berusia 30 tahun dan ke atas adalah kumpulan paling berisiko.
“Ujian HPV DNA yang disediakan oleh LPPKN mengguna pakai kaedah membolehkan wanita mengambil sampel sendiri atau ‘self test’. Ia (ujian) percuma, tidak menyakitkan dan less invasive (kurang invasif) jika dibandingkan dengan kaedah lain.
“Kaum lelaki juga perlu ambil tahu kerana keluarganya mempunyai ibu, isteri, anak perempuan yang turut perlu menjalani saringan HPV DNA. Kanser ini boleh dicegah jika dikesan pada peringkat awal,” katanya ketika berucap pada Majlis Karnival Santuni MADANI: Wanita Sihat Keluarga Sejahtera di pekarangan Madrasah Al-Mashoor di sini hari ini.
Karnival berkenaan diadakan sempena sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks Peringkat Negeri Pulau Pinang 2025 yang turut dihadiri Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Lim Siew Khim dan Ketua Pengarah LPPKN Abdul Shukur Abdullah.
Dr Wan Azizah turut menekankan keutamaan kesihatan wanita kerana golongan itu berperanan melindungi dan mempertahankan institusi keluarga sebagai benteng serta tunjang kestabilan sosial negara.
Media sebelum ini melaporkan, kanser serviks ialah kanser keempat paling biasa dalam kalangan wanita di Malaysia dengan kira-kira 1,740 kes baharu dan 991 kematian dilaporkan setiap tahun, menurut Pusat Maklumat HPV.
Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak turut mengingatkan mengenai kadar kesuburan rakyat Malaysia yang semakin menurun dan pada masa sama negara sedang menuju ke arah negara menua.
Justeru, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada LPPKN di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kerana terus melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan kesedaran rakyat mengenai kadar kesuburan.
Pada majlis itu, Dr Wan Azizah turut menyampaikan baucar WCaRe, bantuan Back to School dan Food Box kepada 200 wanita, 260 murid dan 200 keluarga berpendapatan rendah di kawasan Tanah Liat di sini.
LPPKN menyediakan baucar berkenaan kepada wanita yang layak sebagai manfaat menggalakkan lebih ramai wanita menjalani saringan ujian kanser serviks manakala bantuan beg sekolah dan barang makanan pula sumbangan Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (KASIH Malaysia), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Yayasan Food Bank.
-- BERNAMA