JENAYAH & MAHKAMAH

Seorang Lagi Suspek Kes Pukul OKU Ditahan

21/01/2025 05:23 PM

CHUKAI, 21 Jan (Bernama) -- Polis menahan seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat memukul seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) di Pasar Tani Padang Astaka Chukai di sini, menjadikan jumlah mereka yang ditahan setakat ini kepada enam orang. 

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman DSP Wan Muhamad Ja'afar berkata lelaki yang berusia 35 tahun itu ditahan pada 1.50 tengah hari semalam selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman. 

"Polis juga telah memperoleh perintah reman terhadap suspek sehingga Khamis ini (23 Jan)," katanya semasa dihubungi di sini hari ini. 

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, dengan semua suspek yang ditahan berusia antara 18 hingga 60 tahun. 

Sementara itu, di PUTRAJAYA, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi kenyataan  mengesahkan mangsa yang dipukul merupakan pemegang kad OKU kategori mental sejak 19 Mac 2023.

JKM juga memaklumkan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kemaman telah memberi bantuan Intervensi Krisis dan Sokongan Psikologi (KSP) kepada keluarga mangsa bagi membantu menstabilkan emosi mereka susulan kejadian itu.

"JKM kesal dengan kejadian itu yang sangat tidak berperikemanusiaan dan di luar batas tatasusila kehidupan bermasyarakat yang diamalkan di negara ini," menurut kenyataan itu. 

Pada 17 Jan lepas, rakaman video berdurasi 1 minit 52 saat yang memaparkan seorang lelaki dipukul dan diheret oleh beberapa individu di pasar tani itu tular di media sosial.

Kejadian itu dipercayai berlaku selepas lelaki berusia 47 tahun yang menunggang motosikal, terlanggar sebuah gerai sehingga menyebabkan makanan untuk jualan terjatuh.

 -- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2385149