Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- Pendekatan menyeluruh dan sistematik bagi menyusun semula pekebun kecil getah menjadi satu gabungan serta penanaman semula varieti pokok getah berhasil lebih tinggi akan menjadi aspek penting untuk Malaysia meraih semula kedudukan sebagai pengeluar getah utama dunia.
Pakar industri getah Denis Low berkata kerajaan menerusi Lembaga Getah Malaysia juga perlu membangunkan klon dan anak pokok lebih baik untuk diberikan kepada pekebun kecil getah dan kemudiannya kepada pemain baharu bagi tujuan rejuvenasi.
Menurutnya Malaysia secara semula jadinya adalah negara sesuai untuk perladangan getah, yang menyebabkan pokoknya tumbuh dengan baik di negara ini.
“Penambahbaikan ini perlu lahir daripada klon yang lebih baik untuk mengeluarkan pokok dengan hasil yang lebih memuaskan.
“Teknik penanaman, pembajaan, torehan dan pemprosesan yang sistematik perlu terus dibangunkan bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pengetahuan getah yang sebenar,” katanya kepada Bernama.
Low turut mencadangkan supaya kerajaan melahirkan peladang baharu yang terdiri daripada penduduk kampung dan isi rumah di sepanjang laluan kawasan luar bandar atau separa luar bandar bagi memudahkan pengumpulan hasil mereka pada masa akan datang.
"Bagi petani, mereka perlu dilatih dengan teknik penuaian yang lebih baik dan diberikan sokongan dari segi proses pembajaan yang teratur serta baja pada kadar borong yang menjimatkan berserta teknik," katanya.
Menurutnya pemain industri pula perlu diberikan insentif semula untuk meningkatkan pengeluaran berat tan yang diperlukan bagi mengekalkan ekosistem industri getah.
“Pemproses getah perlu distruktur semula selari dengan pengeluaran, dan berikutan kebanyakan pemproses ini berada di negara jiran, mereka boleh diberikan insentif untuk berpindah ke sini.
“(Ini termasuk), terutamanya industri hiliran seperti pengeluaran tayar, pengeluar tilam getah busa, pembuat kondom, dan (paling) penting, pengeluar sarung tangan getah selaku pengguna terbesar lateks pukal,” katanya.
Low berpendapat bahawa apabila industri di Malaysia menggunakan lebih banyak getah, eksport getah menjadi sekunder atau bukan yang utama.
“Oleh itu, hasrat penting adalah untuk memberikan insentif dan menggalakkan lebih banyak aktiviti hiliran dan pemain luar dalam industri produk getah akan ditempatkan di negara ini,” katanya.
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia menyasarkan untuk kembali menjadi pengeluar getah nombor satu dunia dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata sasaran tersebut adalah realistik sekiranya usaha penanaman semula dan inovasi dalam industri getah dilaksanakan secara menyeluruh dan sistematik.
Industri getah adalah komoditi kedua penting di Malaysia selepas minyak sawit berikutan negara adalah pengeluar getah asli keenam terbesar di dunia, dengan nilai pengeluaran sebanyak 640,000 tan pada 2019 selepas Thailand, Indonesia, Vietnam, Côte d'Ivoire, China dan India.
Menurut Jabatan Perangkaan, pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 20.6 peratus kepada 38,400 tan pada Oktober 2024 berbanding 31,847 tan pada September 2024.
-- BERNAMA