Oleh Atira Khalisha Nor Adnan
KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Tidak hanya berbakat dalam bidang hiburan, pelakon dan pengacara Uyaina Arshad juga bijak mengatur langkah untuk masa depan lebih terjamin dengan merebut peluang mendalami ilmu kepimpinan dan keusahawanan di Universiti Oxford, United Kingdom baru-baru ini.
Sekalipun hanya kursus pendek selama seminggu, pemilik nama sebenar Saidatul Naseha Uyaina Arshad itu menyifatkan Leadership and Entrepreneurship Acceleration Programme yang diikutinya bermula 17 Dis lalu sebagai satu pengalaman berharga.
Lebih-lebih lagi menurut ibu kepada dua cahaya mata itu beliau kini giat merancang untuk membuka perniagaan sendiri.
"Saya rasa bertuah kerana dapat belajar kepimpinan dan keusahawanan dalam suasana di Oxford… bukan mudah untuk masuk ke universiti itu. Biasanya kursus yang ditawarkan adalah dalam talian dan sebagainya, bukan dalam mod ijazah sarjana muda atau ijazah sarjana. Jadi, apabila dapat mengalami sendiri suasana di Oxford, saya rasa seperti ‘wow’, sangat gembira.
"Banyak ilmu berkaitan perniagaan, keusahawanan dan kepimpinan yang saya pelajari, insya-Allah akan saya praktikkan selepas ini,” katanya ketika ditemui Bernama selepas Pertunjukan Fesyen Hikayat Ariani di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.
Uyaina, 33, yang terkenal dengan kepetahannya di media sosial, turut berkongsi impian beliau untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi selepas menyertai program tersebut.
"Memang ada perancangan untuk sambung ijazah sarjana, tetapi disebabkan sekarang ada banyak perancangan maka kena buat satu per satu. Sekiranya nanti Allah luruskan jalan untuk saya sambung belajar di peringkat sarjana, saya sangat terbuka dan menerimanya dengan sepenuh hati," katanya.
pic-2
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Universiti Malaya itu turut berharap langkahnya menimba ilmu dicontohi oleh generasi muda, terutamanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, untuk meneruskan pengajian hingga ke peringkat tertinggi dan tidak jemu mencari ilmu.
Uyaina yang mempunyai 1.8 juta pengikut di Instagram, turut meluahkan kebimbangannya tentang trend generasi lebih muda yang kurang berminat menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi kerana terpengaruh dengan media sosial.
“Sekarang zaman media sosial, namun kita tidak tahu apa akan berlaku dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang apabila platform seperti Instagram atau TikTok mungkin sudah tidak relevan lagi. Apa akan terjadi kepada mereka jika tidak mempunyai pendidikan?” katanya.
Baginya, pendidikan di peringkat tinggi bukan sekadar mengukuhkan latar belakang akademik seseorang tetapi turut memainkan peranan penting dalam membentuk personaliti, kemahiran sosial dan kepimpinan yang seterusnya membina jati diri mereka.
"Ilmu dapat membantu kita dalam bekerja secara berkumpulan dan berkomunikasi dengan baik. Semua itu kita pelajari di peringkat pendidikan tinggi. Jadi, jangan pandang sebelah mata atau ambil mudah soal pelajaran," katanya.
-- BERNAMA