PASARAN

Bursa Malaysia Dibuka Rendah

20/02/2025 11:01 AM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Khamis berikutan sentimen pelabur yang kekal berhati-hati mengenai kebimbangan terhadap tarif Amerika Syarikat (AS) walaupun prestasi Wall Street semalaman positif.

Pada 9.07 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 1.03 mata atau 0.06 peratus kepada 1,579.85 daripada 1,580.88 semalam.  

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 0.26 mata kepada 1,580.62.  

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 171 berbanding 149 dengan 264 kaunter tidak berubah, 1,756 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 298.61 juta saham bernilai RM95.69 juta.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee Shen Pin berkata Wall Street ditutup tinggi sedikit pada Rabu berikutan peniaga tidak terjejas oleh kenyataan daripada Rizab Persekutuan (Fed) AS mengenai inflasi dan kadar faedah. 

Katanya Fed bimbang mengenai tekanan inflasi daripada langkah tarif yang sedang dilaksanakan oleh Presiden AS Donald Trump, yang mungkin akan mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas import automotif, farmaseutikal dan semikonduktor.

Beliau berkata FBM KLCI kekal berada di bawah tekanan, ditutup rendah pada paras 1,580 pada Rabu.

“Kami menjangka dana asing akan menjajarkan semula portfolio mereka dari ASEAN, beralih kepada pasaran Hong Kong buat masa ini.

“Bagaimanapun, kami menjangka aliran penurunan ini adalah sementara berikutan kami percaya lebih banyak dana akan beralih daripada Wall Street ke Asia, mewujudkan kesan limpahan di seluruh rantau ini,” katanya dalam nota penyelidikan.  

Beliau menjangka indeks petunjuk pasaran berada dalam julat 1,580 hingga 1,590 hari ini.  

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot lapan sen kepada RM10.42, Public Bank berkurangan tiga sen kepada RM4.51 dan Tenaga Nasional susut dua sen kepada RM13.84.

Sebaliknya, CIMB naik empat sen kepada RM8.33 dan IHH Healthcare menambah dua sen kepada RM7.23.  

ES Sunlogy yang mula disenaraikan di Pasaran ACE menerajui kaunter aktif, meningkat 1.5 sen kepada 31.5 sen. Ingenieur Gudang, TWL Holdings dan Harvest Miracle, masing-masing tidak berubah pada 5.5 sen, 2.5 sen dan 14 sen manakala Widad Group naik setengah sen kepada empat sen.  

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 0.14 mata kepada 11,942.86 manakala Indeks FBMT 100 meningkat 0.41 mata kepada 11,666.21 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 14.04 mata kepada 11,636.08.  

Indeks FBM 70 menambah 32.10 mata kepada 17,409.68 manakala Indeks FBM ACE berkurangan 19.04 mata kepada 4,988.12.  

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 57.45 mata kepada 19,288.70, Indeks Perladangan berkurangan 1.52 mata kepada 7,420.88 dan Indeks Tenaga susut 1.43 mata kepada 754.10.

Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan, bagaimanapun naik 0.50 mata kepada 162.55.  

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2394420