SEREMBAN, 24 Feb (Bernama) -- Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) berhasrat memperluas perniagaan produk ayam ke pasaran London, menjelang Ogos depan.
Presiden PVATM Datuk Sharuddin Omar berkata untuk permulaan, pihaknya akan menghantar 1,000 sampel produk ayam perap kepada ejen mereka di sana bagi mendapatkan maklum balas serta promosi produk berkenaan.
“Kita baru balik dari London dan telah berhubung dengan kedutaan Malaysia di sana. Mereka menyokong usaha ini, saya juga berhubung dengan ejen kita dan respons diterima cukup baik...insya-Allah sebelum Ogos ada di pasaran London.
“Kita tiada masalah dengan kuantiti untuk bekalkan, asalkan mereka tempah kita boleh buat. Kita akan tambah kakitangan di sini, semua pemprosesan dilakukan di sini,” katanya kepada pemberita di Pusat Jualan Ayam PVATM di sini.
Beliau berkata sebelum ini pihaknya turut menerima tempahan 500,000 peket ayam perap daripada pengusaha di Singapura sekali gus menunjukkan sambutan terhadap produk ayam tersebut sangat baik dan meluas.
Sharuddin berkata pihaknya juga dijadualkan akan ke Vietnam pada Mei ini antara lain untuk melihat model perniagaan diusahakan persatuan veteran tentera Vietnam yang berjaya menjana pendapatan tahunan mencecah RM50 bilion setahun.
Sementara itu, Sharuddin berkata PVATM menyasarkan untuk melahirkan lebih 200 usahawan kecil dan sederhana dalam kalangan veteran dan ahli keluarga mereka serta masyarakat luar bandar bagi membantu meningkatkan pendapatan menerusi jualan makanan segera iaitu chic chop.
“Kita mula buka 200 kios jual chic chop itu di seluruh negara. Mereka akan diberikan latihan terlebih dahulu, kita sediakan tempat dan barangan untuk meniaga, mereka tidak perlu bayar. Kita bantu dari awal sekali gus ubah tahap ekonomi mereka,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga mewujudkan sebuah platform perniagaan iaitu Digital Entrepreneur Country Club (DECC) bagi membangunkan stor ayam veteran selain hotel PVATM dikenali The Barrack.
-- BERNAMA