GAYA HIDUP

Fattah Amin Gambarkan Perjalanan Cinta Dalam Single Terbaharu 'Lelaki Terakhir'

24/02/2025 01:51 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Pelakon dan penyanyi popular, Fattah Amin melancarkan single terbaharu berjudul ‘Lelaki Terakhir’ yang menampilkan gabungan muzik moden dan sentuhan balada klasik. 

Lebih bermakna, Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 34, berkata beliau menghasilkan sendiri lirik lagu itu.

“Lagu ini sangat bermakna bagi saya kerana ia menggambarkan perjalanan cinta yang penuh cabaran, tetapi jika disertai dengan kesetiaan dan doa, cinta itu akan terus kekal sehingga ke akhir hayat. Saya harap lagu ini dapat memberikan inspirasi kepada semua pendengar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata lagu yang dicipta oleh Mel Ramlan itu merupakan runut bunyi bagi drama bersiri terbaharu lakonannya, iaitu Keluarga Itu arahan Nur Ain Sharif.

Muzik video Lelaki Terakhir yang dilancarkan di platform YouTube rasmi Fattah Amin, @FattahAminYT pada 21 Feb lalu juga sedang sohor kini (trending) bagi kategori muzik. 

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan terharu dengan sambutan luar biasa daripada peminat terhadap lagu ini. Saya tidak menyangka lagu ini akan diterima dengan begitu baik dan trending di YouTube dalam masa yang singkat," katanya.

Single itu kini boleh didengar di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music dengan video muzik rasmi bakal dilancarkan dalam masa terdekat.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2395726