ISKANDAR PUTERI, 25 Feb (Bernama) -- Mentaliti kemenangan yang diterapkan dalam diri pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) memainkan peranan penting dalam memastikan kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut.
Ketua jurulatih JDT Hector Bidoglio berkata pemainnya telah memberikan komitmen terbaik dalam setiap perlawanan dan kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan jitu Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
“Penyokong juga memainkan peranan penting, sentiasa bersama JDT dan berkongsi kejayaan kami," katanya pada sidang media selepas aksi JDT menentang Perak FC di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi.
JDT mengekalkan mahkota Liga Super selepas menewaskan Perak FC 2-0, membolehkan skuad Bidoglio mengutip keseluruhan 58 mata selepas 20 perlawanan untuk meninggalkan pencabar terdekat Selangor FC yang mengumpul 42 mata daripada 19 aksi liga musim 2024/2025.
Pengendali berasal dari Argentina itu turut berpuas hati dengan persembahan pemainnya menentang Perak FC, walaupun berdepan separuh masa pertama yang sukar.
"Separuh masa pertama adalah mencabar kerana lawan bermain secara kompak dan bertahan. Namun, dengan kualiti yang kami miliki, para pemain secara perlahan-lahan menguasai perlawanan dan memastikan kemenangan," katanya.
Sementara itu, pengendali Perak FC Yusri Che Lah akur dengan kekalahan 0-2 kepada JDT, namun menegaskan anak buahnya tidak perlu berasa malu dengan keputusan itu.
"Tahniah kepada pemain, meskipun tewas, kita tidak perlu malu walau diasak sepanjang 90 minit dengan dua percubaan hanya hadir pada minit akhir.
"Bagi saya ini lah hukuman (tewas yang harus diterima) seandainya kita beraksi dengan JDT iaitu pasukan yang jauh berkualiti daripada kita, lebih-lebih lagi jika pemain melakukan kesilapan sendiri dalam padang," katanya.
-- BERNAMA