JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Direman Empat Hari Curi Elektrik Untuk Mesin Bitcoin

25/02/2025 02:37 PM

KUALA TERENGGANU, 25 Feb (Bernama) -- Seorang pemilik premis direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kegiatan mencuri elektrik bagi aktiviti pemasangan mesin bitcoin secara haram. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata lelaki berusia 53 tahun yang juga pelombong bitcoin itu ditahan hasil serbuan di premisnya di Taman Sejati, Kuala Nerus pada 10.45 malam tadi. 

"Hasil pemeriksaan yang turut disertai juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan wujud kecurian arus elektrik disyaki bagi menjalankan aktiviti pemasangan mesin bitcoin. 

"Polis turut merampas 12 unit mesin bertulis avalonminer, 12 unit alat penyejuk mesin bitcoin dan sebuah telefon bimbit dengan nilai rampasan RM15,600," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Beliau berkata suspek disiasat mengikut Seksyen 379 dan 426 Kanun Keseksaan serta Seksyen 37 Akta Bekalan Letrik.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2396237