SUKAN

Dr P. Vellapandian Dilantik CEO Baharu ISN

25/02/2025 02:42 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) Dr P. Vellapandian dilantik sebagai CEO Institut Sukan Negara (ISN) yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan Vellapandian, 56, yang pernah menyandang pelbagai jawatan penting di ISN menggantikan Ahmad Faedzal Md Ramli yang telah tamat tempoh perkhidmatannya semalam, selepas mula memegang jawatan berkenaan pada 25 Feb 2019.

Pengerusi Lembaga ISN Datuk Marina Chin yang mengumumkan pelantikan itu berkata Vellapandian membawa pengalaman lebih dua dekad dalam bidang sains sukan, psikologi sukan, penyelidikan dan pembangunan prestasi atlet.

"Kepakarannya dalam pembangunan atlet berprestasi tinggi serta pengurusan program sukan elit diyakini akan memacu ISN ke tahap yang lebih tinggi dalam menyokong kecemerlangan sukan negara," katanya dalam sidang media di ISN di sini hari ini.

Marina berkata pemilihan Vellapandian adalah melalui proses secara terbuka dengan sesiapa sahaja boleh menghantar permohonan untuk mengisi kekosongan jawatan berkenaan. 

Selain menjadi CEO IYRES yang merupakan institut di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Vellapandian juga pernah menjadi Pengarah Bahagian Prestasi Sukan ISN dan Ketua Program Podium.

Beliau memiliki ljazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Psikologi Sukan daripada University of Western Australia serta berkelulusan ijazah sarjana dan sarjana muda dalam sains sukan daripada universiti tempatan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2396241