EKONOMI

BPMB Sedia RM18.5 Juta Pembiayaan Untuk Projek Rumah Mampu Milik Di Pulau Pinang

26/02/2025 03:05 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) memeterai perjanjian Kemudahan Pembiayaan Tawarruq berjumlah RM18.5 juta bersama Firma Atasan Sdn Bhd bagi menyokong fasa pertama Projek Perumahan Mampu Milik Juru Hills di Pulau Pinang.

Dalam satu kenyataan hari ini, BPMB berkata pembiayaan ini seiring dengan agenda perumahan sosial Malaysia, Rancangan Malaysia Ke-12 dan matlamat pembangunan mampan (SDG) negara.

"Ia juga merupakan inisiatif perumahan mampu milik pertama BPMB yang mematuhi piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sektor swasta," katanya.

 Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB Roni Abdulwahab berkata bank tersebut komited menyokong projek sosioekonomi serta memperkukuhkan perniagaan tempatan.

"DNA kami membimbing BPMB untuk menyediakan modal impak bagi pembangunan negara, mencapai golongan yang tidak diberi perkhidmatan dan kurang diberi perkhidmatan serta memperkukuhkan keupayaan pelanggan.

“Kerjasama dengan Firma Atasan ini menunjukkan dedikasi kami untuk menjadikan pemilikan rumah lebih mudah diakses selain memastikan kemampanan kekal sebagai teras pembangunan bandar,” katanya.

 Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Firma Atasan, Chew Why Hoong berkata projek ini meliputi pusat pembelajaran belia dan rumah jagaan orang tua bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk.

"Kami percaya projek ini akan menetapkan piawaian baharu bagi perumahan mampu milik di Pulau Pinang dan seterusnya," katanya.

BPMB berkata projek berkenaan menyokong sasaran perumahan Pulau Pinang 2030 dengan menangani permintaan jangka panjang yang semakin meningkat bagi rumah mampu milik.

Majlis memeterai perjanjian kemudahan pembiayaan itu dihadiri Exco Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Datuk Seri S Sundarajoo, wakil pegawai kanan dari BPMB, Firma Atasan, Kumpulan Harta Intan bersama dengan pembuat dasar, perunding projek dan media.

--BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2396745