AM

PAC Syor Kerajaan Teliti Keperluan Gabung Majlis Profesor Negara Dengan Badan Pemikir Lain

26/02/2025 09:08 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mencadangkan kerajaan melihat keperluan penggabungan atau kerjasama strategik antara Majlis Profesor Negara (MPN)  dengan badan pemikir lain di negara ini seperti Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) serta agensi lain berkaitan.

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam kenyataan hari ini berkata melalui langkah itu, kerajaan boleh menyelaras fungsinya sebagai badan pemikir kepada kerajaan yang merangkumi pelbagai bidang.

Berhubung keputusan kerajaan sama ada untuk mengekalkan MPN sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG) atau diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), beliau berkata PAC mengambil maklum satu Memorandum Jemaah Menteri berhubung penetapan hala tuju status MPN telah disediakan Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

"Justeru, PAC memohon supaya JPM dapat mengedarkan dengan segera sebaik sahaja keputusan Jemaah Menteri diperoleh dan memaklumkan kepada PAC secara bertulis terhadap keputusan kerajaan berhubung status MPN itu," katanya.

PAC hari ini membentangkan penyata berhubung tindakan susulan JPM dan MPN bagi syor-syor penyata PAC berhubung MPN.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2396966