GAYA HIDUP

Penyelidik Sejarah Hidupkan Kembali Permainan Catur Melayu Yang Hampir Pupus

28/02/2025 10:17 AM

Oleh Mohd Afiq Zulkifli

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Jika selama ini kita hanya mengenali catur moden yang dimainkan di seluruh dunia, siapa sangka masyarakat Melayu juga mempunyai permainan papan itu yang telah masyhur dan dibudayakan masyarakat setempat sejak zaman berzaman.

Penemuan khazanah budaya yang hampir pupus itu hasil usaha gigih penyelidik sejarah dan tamadun Melayu Dr Mohd Hasanuddin Mohd Yusof yang telah membuat kajian lapangan lebih enam tahun termasuk mengembara ke beberapa negara antaranya kepulauan Indonesia, Brunei dan selatan Filipina.

Ketika ditemui Bernama baru-baru ini, Mohd Hasanuddin, 43 berkata kajiannya menemukan sekurang-kurangnya 16 jenis permainan catur Melayu, antaranya catur gajah, catur harimau, catur perang dan catur raja.

“Contohnya, catur harimau dan catur perang, saya menemu ramah beberapa orang lama yang mewarisi permainan catur itu di sebuah perkampungan di Aceh dan Sumatera Barat, selain satu rekod penulisan yang disimpan oleh seorang ahli Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Negeri Sembilan mengenai kaedah permainan catur tersebut.

“Walaupun kini hanya dimainkan di Indonesia, kita semua serumpun dan berkongsi banyak aspek budaya, misalnya di sini (Malaysia) ada keris dan silat, di Sumatera dan Jawa pun ada (keris dan silat), jadi, permainan catur juga begitu, cuma di sini sudah tidak ada yang tahu bermain permainan ini,” katanya.

pic-2

Menurut Mohd Hasanuddin, kewujudan lebih daripada satu jenis catur Melayu adalah manifestasi sifat masyarakat Melayu yang sukakan seni dan berfikir. 

“Kalau kita lihat sejarah pembinaan rumah, pembuatan senjata dan perahu, ada ukiran atau motif tertentu, begitu juga dengan permainan catur Melayu yang mempunyai strategi permainan berbeza bergantung pada jenisnya, bagi melatih pemain berfikir selain tidak cepat berasa bosan,” katanya.

Menyentuh kelebihan bermain catur Melayu, Hassanuddin yang berasal dari Langkap, Teluk Intan, Perak, berkata permainan itu hanya sekejap kerana pemain tidak memerlukan masa yang lama untuk menyelesaikan satu-satu permainan.

pic-3

“Selain itu, catur Melayu juga tidak mempunyai sebarang lambang keagamaan, bentuk ukiran haiwan (patung) atau makhluk hidup yang tidak wajar dijadikan budaya orang Melayu yang sinonim beragama Islam,” katanya, menambah kanak-kanak diajar bermain catur itu seawal usia empat tahun.

 Mengulas lanjut, Mohd Hasanuddin yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah Tamadun Alam Melayu daripada Universiti Kebangsaan Malaysia,  berkata permainan catur Melayu bermatlamat sebagai satu bentuk senaman fikiran untuk melatih otak berfikir dan merancang strategi.

“Contohnya, permainan catur perang melatih kemahiran berfikir dan merancang strategi untuk menawan kubu pihak musuh (rimba) dengan cepat manakala catur harimau pula bagaimana pihak ‘harimau’ dapat melepaskan diri daripada kepungan pihak ‘kambing’ dan sebaliknya,” katanya, menambah permainan itu juga satu bentuk hiburan yang bertujuan merapatkan silaturahim.

pic-4

Menurutnya, permainan catur Melayu dicatatkan dalam naskhah sejarah Melayu, iaitu Sulalatus Salatin dan Tuhfat an-Nafis yang merekodkan permainan catur Melayu sebagai antara permainan menguji akal yang dimainkan ketika era Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 dan Kesultanan Johor Lama pada abad ke-16.

“Misalnya catatan Tun Sri Lanang dalam Sulalatus Salatin merekodkan dua orang yang handal bermain catur ketika Kesultanan Melayu Melaka, iaitu Tun Bahara yang berasal dari Pasai dan Tun Pikrama yang berasal dari Melaka,” katanya.

Selain itu, Mohd Hasanuddin berkata kewujudan catur Melayu juga ditemukan melalui jurnal antarabangsa seperti dalam artikel Malay Chess oleh T.B. Elcum dan Rules in Malay Chess oleh R.O Winstedt, yang masing-masing diterbitkan dalam Journal of the Straits Branch of The Royal Asiatic Society pada 1907 dan 1917. 

Daripada kajiannya Mohd Hasanuddin menghasilkan set permainan catur Melayu yang dijual pada harga RM80 dengan harapan khazanah budaya Melayu itu dapat dilestarikan oleh generasi hari ini, selain membantu menaikkan kembali satu daripada permainan tradisional yang hampir hilang. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2397543