DUNIA

UK Wajibkan Permit Masuk Digital Untuk Pengembara

05/03/2025 06:21 PM

LONDON, 5 Mac (Bernama-dpa) -- Pengembara ke United Kingdom (UK) boleh memohon kebenaran perjalanan elektronik (ETA) baharu mulai Rabu, satu keperluan yang akan menjadi mandatori mulai 2 April, lapor agensi berita Jerman, dpa.  

Bermula tarikh itu, pasport sahaja tidak lagi mencukupi untuk masuk ke UK.  

ETA pada asasnya merupakan pemeriksaan keselamatan digital bagi pengembara yang tiba di Britain tanpa visa. Permohonan dikenakan bayaran £10 (US$12.80), namun kadar itu akan dinaikkan kepada £16 dalam beberapa bulan akan datang.  

Ia bukan visa dan tidak memberi kebenaran masuk, tetapi membolehkan kemasukan ke negara itu, menurut Kementerian Dalam Negeri UK di laman sesawang ETA sambil menambah bahawa negara lain turut menggunakan sistem yang serupa.

"Pengenalan ETA selaras dengan pendekatan yang diambil oleh banyak negara lain bagi keselamatan sempadan, termasuk AS dan Australia, serta membantu mencegah kemasukan individu yang menimbulkan ancaman kepada UK," menurut laman sesawang itu.  

Sistem itu termasuk semakan rekod jenayah selain langkah keselamatan lain. Ia juga direka untuk membantu dalam mencegah penyalahgunaan sistem imigresen UK, menurut Kementerian Dalam Negeri UK. 

ETA yang diluluskan membolehkan kemasukan berulang kali dan tempoh tinggal sehingga enam bulan dalam tempoh dua tahun, dengan syarat pasport kekal sah sepanjang tempoh itu.

Untuk memohon, Kementerian Dalam Negeri UK mengesyorkan penggunaan aplikasi mudah alih khas. Pemohon perlu menjawab soalan keselamatan, memberikan butiran alamat dan tempat kerja serta memuat naik gambar pasport mereka.  

Bagi pemohon berusia sembilan tahun ke atas, gambar wajah mereka juga diperlukan.  

Mereka yang tidak mempunyai telefon pintar yang sesuai boleh menggunakan komputer dan memohon melalui laman sesawang rasmi.  

-- BERNAMA-dpa  



 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2399273