AM

Bukan Sekadar Selesema? Fahami Pneumonia, Punca Kematian Nombor Satu Di Malaysia

06/03/2025 10:00 AM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) – Pneumonia atau radang paru-paru kini menjadi punca utama kematian di Malaysia, dengan 18,181 kes kematian direkodkan pada 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Sementara, influenza bermusim kekal menjadi isu kesihatan global, yang menjejaskan kira-kira satu bilion individu setiap tahun, dengan tiga hingga lima juta kes diklasifikasikan sebagai serius.

Pakar Perunding Perubatan Pernafasan dan Perubatan Dalaman Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa menjelaskan bahawa peningkatan virus pernafasan seperti influenza dan COVID-19 menjadikan individu lebih terdedah kepada pneumonia.

Beliau berkata penuaan penduduk, kelewatan mendapatkan rawatan perubatan, dan kadar vaksinasi yang rendah antara faktor utama peningkatan kematian akibat pneumonia di Malaysia.

"Pneumonia adalah jangkitan pernafasan serius yang menyebabkan keradangan paru-paru, menyukarkan pernafasan, mengurangkan kadar oksigen dalam darah, serta berkemungkinan mendapat komplikasi serius yang memerlukan rawatan di hospital atau mengakibatkan kematian.

"Walaupun golongan warga emas lebih berisiko menghidap pneumonia, namun individu lebih muda tidak terkecuali, terutamanya mereka yang mempunyai sistem imun lemah, menghidap penyakit kronik, atau mengamalkan gaya hidup yang menjejaskan kesihatan paru-paru," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini.

Dr Nurul berkata terdapat peningkatan kes pneumonia dalam kalangan individu muda sejak beberapa tahun kebelakangan ini, berpunca daripada pendedahan lebih besar kepada virus pernafasan, tabiat merokok, dan penggunaan vape.

Beliau menjelaskan bahawa influenza dan COVID-19 merupakan penyumbang utama kepada pneumonia, kerana kedua-dua virus ini melemahkan sistem pertahanan badan dan sistem pernafasan.

"Virus influenza merosakkan membran pelindung yang melapisi saluran pernafasan serta cilia, struktur halus berbulu yang berfungsi menyingkirkan lendir dan menjadikan individu lebih mudah terdedah kepada jangkitan bakteria yang boleh mencetuskan pneumonia.

"Penyakit ini merebak melalui titisan pernafasan yang tersebar di udara apabila individu dijangkiti batuk atau bersin, serta melalui permukaan tercemar jika seseorang menyentuh hidung atau mulut selepas bersentuhan," katanya sambil menasihatkan individu yang baru pulih daripada selesema, supaya berwaspada terhadap demam berpanjangan, batuk semakin teruk, atau kesukaran bernafas, kerana gejala ini boleh menandakan pneumonia.

Dr Nurul menjelaskan bahawa individu yang dijangkiti boleh menularkan jangkitan sejak sehari sebelum simptom muncul sehingga tujuh hari selepas gejala timbul, sekali gus menekankan kepentingan pengesanan awal dan langkah pencegahan.

Merujuk kepada kes terbaharu, beliau berkata pelakon Taiwan, Barbie Hsu, dan pelakon China, Liang Youcheng, meninggal dunia akibat komplikasi pneumonia selepas dijangkiti influenza, sekali gus membuktikan betapa cepatnya penyakit pernafasan boleh menjadi serius, termasuk dalam kalangan individu lebih muda.

"Kes ini, menekankan kepentingan langkah pencegahan proaktif, termasuk pengambilan vaksin secara berkala, pemakaian pelitup muka di kawasan berisiko tinggi, serta amalan mencuci tangan dengan kerap,” katanya.

Beliau menggesa agar golongan berisiko tinggi untuk mengutamakan vaksinasi pneumokokus dan influenza, yang dapat mengurangkan tahap keterukan pneumonia secara signifikan.

Vaksin influenza dapat menurunkan kadar kemasukan ke hospital sebanyak 40 hingga 60 peratus dalam kalangan individu sihat, manakala vaksin pneumokokus mampu mengurangkan risiko pneumonia teruk hingga 75 peratus dalam kalangan warga emas.

“Vaksinasi influenza tahunan disyorkan untuk semua individu, sementara golongan dewasa berusia 65 tahun ke atas disarankan mendapatkan vaksin pneumokokus dengan dos penggalak berdasarkan faktor risiko masing-masing,” katanya.

Dr Nurul merujuk kepada seorang pesakit diabetes berusia 72 tahun yang menerima kedua-dua vaksin dan hanya mengalami gejala ringan tanpa menghidap pneumonia, berbanding seorang pesakit diabetes berusia 50 tahun yang dimasukkan ke hospital akibat pneumonia teruk selepas dijangkiti influenza tanpa vaksinasi.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kecemasan SMCV Dr Lim Fang Jen menegaskan mengenai kepentingan mengenal pasti tanda utama pneumonia, termasuk sesak nafas, pernafasan laju, sakit dada, kelesuan melampau, kekeliruan, dan pening berterusan.

"Apabila pneumonia menjadi kritikal, perkembangannya boleh berlaku dengan cepat dan membawa kesan yang teruk. Pesakit yang mengalami kesukaran bernafas yang serius, tahap oksigen yang berbahaya rendah, kekeliruan, atau perubahan status mental mungkin memerlukan rawatan rapi atau ventilasi mekanikal.

"Jika tidak dirawat, pneumonia boleh menyebabkan miokarditis (keradangan otot jantung), ensefalitis (keradangan otak), miositis atau rhabdomiolisis (keradangan atau kerosakan otot), sepsis (tindak balas keradangan berbahaya akibat jangkitan), serta kegagalan pelbagai organ.

"Pneumonia juga boleh memburukkan keadaan sedia ada, terutamanya dalam kalangan individu yang menghidap diabetes, penyakit jantung, atau penyakit paru-paru kronik. Mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah berisiko lebih tinggi untuk mengalami tempoh hospitalisasi yang berpanjangan, kerosakan organ kekal, atau kematian," katanya.

Penemuan ini menekankan keperluan mendesak untuk pengesanan awal, pencegahan proaktif, dan intervensi tepat pada masanya bagi mengurangkan risiko maut akibat pneumonia.

Meskipun pneumonia adalah penyakit serius, namun ia sebahagian besarnya dapat dicegah melalui pengesanan awal dan langkah pencegahan. Pencegahan bermula dengan vaksinasi rutin, disertai amalan mudah tetapi berkesan seperti menghindari tabiat merokok, menjaga kebersihan diri, dan mengamalkan gaya hidup sihat.

"Dengan mengamalkan langkah pencegahan ini, rakyat Malaysia dapat mengurangkan risiko pneumonia dengan ketara serta membantu melindungi komuniti daripada penyakit yang mengancam nyawa ini," menurut kenyataan SMCV.

-- BERNAMA

Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel tersebut.

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2399433