MOSCOW, 7 Mac (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Kanada akan menangguhkan pengenalan tarif baharu ke atas barangan Amerika Syarikat sehingga 2 April sebagai tindak balas kepada komitmen AS untuk menggantung tarif ke atas eksport Kanada di bawah Perjanjian Kanada-Amerika Syarikat-Mexico (CUSMA), kata Menteri Kewangan Kanada Dominic LeBlanc pada Jumaat, menurut Sputnik/RIA Novosti.
"Amerika Syarikat bersetuju untuk menggantung tarif ke atas eksport yang mematuhi CUSMA dari Kanada sehingga 2 April. Hasilnya, Kanada tidak akan meneruskan fasa kedua tarif ke atas produk AS bernilai US$125 bilion sehingga 2 April," kata LeBlanc di X.
LeBlanc berkata kerajaan Kanada akan terus berusaha untuk menghapuskan semua tarif.
Pada Selasa, pengenalan tarif 25 peratus Presiden AS Donald Trump ke atas barangan dari Mexico dan Kanada, bersama-sama kenaikan tarif 10 peratus baharu ke atas import China, mula berkuat kuasa. Kanada dan Mexico bertindak balas dengan mengenakan tarif balas dan langkah lain terhadap barangan dari AS.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI