EKONOMI

Bursa Malaysia Dijangka Tinggi Minggu Depan Berikutan Sentimen Lebih Baik - Penganalisis

08/03/2025 03:13 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka diniagakan lebih tinggi minggu depan, dipacu oleh sentimen yang lebih baik dan minat baharu terhadap saham dengan asas kukuh.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata, bagaimanapun indeks ini berdepan dengan paras rintangan utama 1,590, yang mungkin mengehadkan potensi kenaikan segera, terutamanya berikutan aliran keluar dana asing yang berterusan.

"Walaupun pasaran semasa mengalami ketidaktentuan, kami mengekalkan pandangan optimistik namun berhati-hati pada minggu depan," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Mohd Sedek berkata terdapat peluang untuk pembelian saham pada harga rendah terutamanya dalam sektor berdaya tahan seperti kewangan, komoditi, tenaga, penjagaan kesihatan dan teknologi.

"Industri semikonduktor Malaysia terutamanya berpotensi mendapat manfaat daripada penekanan strategik China terhadap teknologi dalam pelan hala tuju ekonomi 2025 negara berkenaan," katanya.

Beliau berkata, walaupun ketidaktentuan dalam masa terdekat ini kekal sebagai risiko berikutan dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) yang tidak menentu, penggantungan tarif sementara dan potensi perubahan dasar Rizab Persekutuan boleh mewujudkan persekitaran yang lebih memberangsangkan terhadap aset berisiko.

"Dengan faktor-faktor ini, kami mengunjurkan situasi pasaran akan stabil, menyokong trend kenaikan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dan ringgit yang lebih kukuh pada minggu depan," katanya.

Bagi minggu dagangan yang baru berakhir, FBM KLCI kebanyakannya rendah berikutan kebimbangan mengenai perang perdagangan susulan pengesahan AS berhubung pengenaan tarif ke atas Mexico, Kanada dan China.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, indeks utama susut 27.43 mata kepada 1,547.27 berbanding 1,574.70 pada minggu lepas.

Indeks FBM Emas susut 215.52 mata kepada 11,520.80, Indeks FBMT 100 merosot 201.02 mata kepada 11,295.55, Indeks FBM Emas Shariah rendah 231.84 mata kepada 11,179.95, Indeks FBM 70 berkurangan 294.16 mata kepada 16,342.47, dan Indeks FBM ACE susut 169.20 mata kepada 4,587.79.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 3.12 mata kepada 155.23, Indeks Tenaga rendah 39.10 mata kepada 715.04, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 260.27 mata kepada 19,066.68, dan Indeks Perladangan susut 129.62 mata kepada 7,480.08.

Jumlah dagangan susut kepada 15.56 bilion unit bernilai RM13.32 bilion daripada 15.94 bilion unit bernilai RM16.35 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 8.40 bilion unit bernilai RM12.10 bilion daripada 9.44 bilion unit bernilai RM15.14 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 5.14 bilion unit bernilai RM570.74 juta berbanding 4.46 bilion unit bernilai RM527.65 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 2.0 bilion unit bernilai RM647.06 juta daripada 2.02 bilion unit bernilai RM684.24 juta pada minggu sebelumnya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400206