KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Rizab antarabangsa Malaysia meningkat kepada US$118.3 bilion pada 28 Feb, 2025 daripada US$117.7 bilion pada 14 Feb, 2025, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Bank pusat itu berkata paras rizab berkenaan memadai bagi membiayai 5.0 bulan import barangan dan perkhidmatan dan 0.9 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.
Komponen utama rizab itu merangkumi rizab mata wang asing (US$105.9 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (US$1.2 bilion), hak pengeluaran khas (SDR) (US$5.7 bilion), emas (US$3.3 bilion) dan aset rizab lain (US$2.2 bilion).
Keseluruhan aset berjumlah RM639.51 bilion, merangkumi emas dan tukaran asing dan rizab lain, termasuk SDR (RM529.37 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.95 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM3.41 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM26.73 bilion), tanah dan bangunan (RM4.59 bilion), dan aset-aset lain (RM62.46 bilion).
BNM berkata jumlah modal dan tanggungan sebanyak RM639.51 bilion, merangkumi modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM197.14 bilion), mata wang dalam edaran (RM174.28 bilion), deposit institusi kewangan (RM138.68 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM7.60 bilion), deposit-deposit lain (RM79.80 bilion), kertas-kertas Bank Negara (RM10.71 bilion), peruntukan SDR (RM28.18 bilion) dan liabiliti lain (RM3.02 bilion).
-- BERNAMA