Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah
KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Penyanyi popular Jaclyn Victor terbuka untuk menerima tawaran mengadakan konsert di luar negara khususnya Singapura dan Indonesia, sekiranya mendapat peluang.
Jaclyn, 46, menyifatkan peluang untuk beraksi di peringkat antarabangsa sebagai sesuatu yang menarik, walaupun cabarannya besar, terutama apabila melibatkan komitmen keluarga.
"Selepas konsert solo saya pada Oktober tahun lepas, satu daripada rancangan ialah mengadakan konsert di Singapura, namun jadual yang padat termasuk pelancaran album baharu dan pelbagai acara lain menyebabkan perancangan itu tertangguh.
"Jika ada penganjur yang berminat untuk menganjurkan konsert saya di luar negara, saya tidak pernah tolak dan akan buat sahaja. Apa sahaja tawaran yang datang, saya okay sahaja," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata setiap penyanyi pasti mempunyai impian untuk mengadakan konsert solo di luar negara.
pic-2
"Menyanyi di depan penonton yang sangat menghargai kita itu sesuatu 'mood' yang sangat berbeza dan menyeronokkan. Secara automatik, kita dapat serap 'energy' daripada peminat yang hadir dan kita balas dengan persembahan yang terbaik.
"Kalau ada jemputan ke Singapura, ada jemputan ke Indonesia, boleh saja," katanya.
Mengenai album terbaharunya Glorious, Jaclyn berkata album itu adalah sesuatu yang berbeza daripada yang pernah ditampilkannya sebelum ini.
"Kalau dahulu, saya dapat lagu-lagu dalam album ini memang saya tidak faham. Contohnya, lagu B.D.T, bila saya dengar demo, saya tidak faham dan tidak suka, namun, apabila sudah siap diterbitkan, saya terus suka dengan lagu ini.
"Jadi saya fikir, melodi lagu-lagu di dalam album ini mudah melekat sebagai halwa telinga pendengar," katanya.
Dalam pada itu, pelantun lagu Gemilang itu turut berkongsi keterujaannya untuk mempersembahkan lagu Glorious bersama-sama dengan orkestra 80 pemuzik dalam acara The Art of Sound yang dijadualkan berlangsung pada 19 dan 20 April ini di Pusat Seni Persembahan Petaling Jaya.
"Persembahan ini istimewa kerana ia menjadi tayangan perdana global bagi lagu Glorious dalam susunan orkestra. Ini sesuatu yang mencabar tetapi saya teruja untuk berkongsi pengalaman ini bersama peminat," tambahnya.
-- BERNAMA