GAYA HIDUP

Laguku 3.0 : Platform Bakat Muda Dalam Persembahan Unik Gendang Tradisional, Hip-hop

08/03/2025 02:12 PM

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Konsert gendang Laguku 3.0 yang akan dipersembahkan di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) di sini April depan, menjanjikan persembahan unik menggabungkan antara lain alat muzik traditional, hip-hop jalanan dan ritual rakyat.

 Dipersembahkan Orang Orang Drum Theatre, kumpulan tempatan yang telah memenangi antara lain Best Group Performance di 12th BOH Cameronian Arts Award, edisi ketiga Laguku itu akan mengetengahkan bakat mudanya.

Penerbitnya Leow Hui Min berkata ia menjadi platform terbaik untuk generasi muda berusia 25 hingga 35 tahun terbabit berkarya, mencipta komposisi muzik sendiri dengan menggunakan pelbagai alat muzik tradisional dan mempersembahkannya kepada peminat.

pic-2

"Kebanyakan pemuzik menggunakan satu alat muzik utama, iaitu shigu atau gendang Cina sebelum menambah instrumen lain seperti gamelan, demung, bonang, djembe (gendang Afrika), bongo, zilofon dan sebagainya.

“Kali ini, persembahan yang akan ditonjolkan sangat berbeza kerana lebih menumpukan hubungan pemain dengan shigu serta cabarannya dalam mempertahankan seni gendang tradisional dalam era moden,” katanya kepada Bernama selepas menjalani sesi latihan, baru-baru ini.

Laguku 3.0 bakal berlangsung  dari 4 hingga 6 April depan, menampilkan tujuh lagu  ciptaan lapan pemuzik, iaitu Dream-like Drum Song yang dicipta oleh Lim Jian Ru, Quartet (Eng Cheah Her), Little by Little (Low Wai Kei),  Rebecoming (Tai Chun Wai), Lean Into The Wind (Tee Vlin), 1^N (Hanson Lee Chun Bin) dan Vibe Check, Vibe Check (Nick Ng dan Syamil).

“Setiap pemuzik menggabungkan elemen hip-hop jalanan, kesusasteraan, vokal ensembel serta ritual rakyat bagi menghasilkan komposisi unik yang mencerminkan identiti seni masing-masing,” katanya.

pic-3

Leow berkata sebagai sebahagian daripada proses pembangunan, satu sesi "work-in-progress" turut diadakan sejak tahun lepas, bagi membolehkan setiap pemuzik mempersembahkan karya mereka serta bertukar idea dengan artis lain.

“Dari sesi itu, mereka menerima bimbingan daripada mentor serta tenaga pengajar menerusi bengkel khas bagi memperluaskan mereka,” katanya.

Katanya, selain persembahan utama, satu sesi khas turut dijadualkan pada 4 April melibatkan program jangkauan seni dan sesi diskusi bersama-sama dengan pelajar sekolah dalam usaha memperluas pemahaman tentang seni gendang sekali gus memberi inspirasi kepada generasi muda.

Pemuzik Tai Chun Wai yang mencipta lagu Rebecoming, berkata lagu tersebut menggunakan djembe yang dipelajarinya sejak lebih 10 tahun lepas.

“Sebelum ini, saya bermain gendang Cina tetapi kerana minat dengan keunikan bunyian djembe, saya sempat berguru dengan pemuzik dari Afrika dan Singapura, serta meneroka tekniknya sendiri melalui YouTube,” katanya.

pic-4

Tee Vlin  pula mencipta satu pengalaman yang unik dan mendalam menerusi lagu Lean Into the Wind yang menggabungkan unsur teater, tarian dan muzik yang dilhamkan daripada filem Howl’s Moving Castle dan Dune serta novel The Little Prince dan The Alchemist.

“Saya menggunakan alat muzik seperti 'Chinese zither', gendang, demung dan paip plastik untuk menghasilkan bunyi yang memikat sambil menggabungkan pelbagai irama yang bercampur, termasuk unsur fizikal dan muzik yang lebih kepada teater," katanya.

Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan tiket  berharga RM48, RM68, RM88 dan RM108 di laman sesawang https://www.cloudjoi.com/shows/laguku3.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400230