IPOH, 8 Mac (Bernama) -- Kerajaan Perak tidak bercadang meminda tarikh Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 22 April, meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning pada 26 April.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata perjalanan PRK itu tidak akan menjejaskan persidangan DUN kerana jentera Kerajaan Perpaduan akan membantu dalam kempen pilihan raya.
“Saya rasa ia tidak mengganggu walaupun dalam tempoh sidang DUN kita berada dalam ‘mood’ berkempen. Ini kerana gerak kerja PRK akan dibantu oleh jentera-jentera parti Kerajaan Perpaduan,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Wanita Peringkat Perak 2024 di Laman Seri Ridzuan, di sini, hari ini.
Semalam, Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun, mengumumkan tarikh penamaan calon bagi PRK DUN N48 Ayer Kuning ditetapkan pada 12 April, pengundian awal pada 22 April, manakala hari pengundian pada 26 April.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Allahyarham Ishsam Shahruddin, 59, yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Tapah. Beliau meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Feb lepas.
Sementara itu, Saarani yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, turut menyarankan pengundi membuat pilihan bijak dengan menyokong calon Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan itu.
Menurutnya, pembangunan di DUN Ayer Kuning telah dilaksanakan secara berterusan sejak era Allahyarham Datuk Azman Mahalan (1986-2004), diikuti Datuk Samsudin Abu Hassan (2004-2022), dan kemudiannya Allahyarham Ishsam Shahruddin.
“Adalah pelik jika pengundi memilih untuk menjadi pembangkang di kawasan yang dikuasai kerajaan. Apa jua keputusan PRK ini tidak akan mengubah kedudukan Kerajaan Perpaduan di Perak,” katanya.
-- BERNAMA