AM

PRK Dun Ayer Kuning Ditetapkan Pada 26 April - SPR

07/03/2025 02:39 PM

PUTRAJAYA, 7 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak pada 26 April ini.

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 12 April dan 22 April.

"Daftar pemilih pilihan raya bagi PRK DUN Ayer Kuning mengandungi 31,897 pemilih. PRK DUN Ayer Kuning memerlukan peruntukan sebanyak RM2.5 juta," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan dan tarikh penting berkaitan PRK DUN Ayer Kuning di Menara SPR di sini hari ini.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 59, pada 22 Feb lepas akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang.

Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah sejak 2018 memenangi DUN berkenaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022 dengan memperoleh 2,213 majoriti undi dalam persaingan lima penjuru.

Ramlan berkata bagi menjalankan proses PRK Ayer Kuning, SPR telah melantik seorang pegawai pengurus pilihan raya dibantu tiga penolong manakala bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan satu pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya yang turut dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan dan wakil calon yang bertanding.

Beliau berkata Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) yang akan digunakan adalah di Dewan Merdeka Tapah, Perak dengan 601 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK berkenaan.

"Sebanyak 19 pusat mengundi biasa yang mengandungi 63 tempat mengundi atau saluran dan dua pusat mengundi awal yang mengandungi tiga tempat mengundi atau saluran awal akan digunakan,” katanya.

Menurut Ramlan, tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 12 April hingga 11.59 malam, 25 April manakala urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRK terbabit dibuka mulai hari ini secara dalam talian.

Tarikh tutup permohonan pula adalah pada 9 April bagi kategori 1A (petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, polis, tentera dan petugas media) dan masing-masing pada 20 Mac bagi kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan kategori 1C (agensi/organisasi).

Ramlan berkata para pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan dalam portal semakan melalui pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi talian Hotline SPR 03-8892 7218 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

Semakan maklumat pengundian akan dibuka pada 25 Mac ini.

Beliau berkata bagi memudahkan proses penamaan calon, SPR menyeru bakal calon yang ingin bertanding dalam PRK DUN Ayer Kuning agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak sebelum hari penamaan calon. 

Selain itu, beliau berkata bakal calon juga digalakkan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.

Bagaimanapun, katanya kertas penamaan calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh pejabat pegawai pengurus itu hendaklah dikemukakan oleh calon, penyokong atau pencadangnya semasa hari penamaan calon di PPC yang telah ditetapkan oleh SPR.

Ramlan berkata SPR turut menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya bagi melihat perjalanan proses PRK DUN Ayer Kuning bermula dari hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan. 

"Mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan rasmi undi serta perlu mematuhi kesemua syarat pelantìkan yang telah ditetapkan," katanya.

Maklumat lanjut dan borang permohonan untuk pemerhati boleh diperoleh daripada portal SPR www.spr.gov.my bermula pada hari ini dan tarikh tutup permohonan pada 17 Mac ini.

Ramlan berkata SPR akan meneruskan penyiaran secara langsung proses pilihan raya menerusi penstriman langsung bagi pusat atau saluran mengundi yang terpilih di laman Facebook SPR.

Bagi menggalakkan pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing, beliau berkata SPR akan melaksanakan kempen "Jom Kita Undi" melalui pelbagai saluran media termasuk di media elektronik, media sosial, hebahan melalui siar raya dan pemasangan kain rentang di lokasi strategik tumpuan awam dan tempat lain yang bersesuaian.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2399915