EKONOMI

MATRADE Akan Perkenal Perdagangan Digital MADANI, Hubungkan Perniagaan Dengan Pasaran Global

10/03/2025 06:42 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bersedia untuk melancarkan Perdagangan Digital MADANI (MDT), pameran maya bersepadu, pada 13 Mac, 2025, di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.

Menurut kenyataan pada Isnin, MATRADE menjelaskan MDT adalah pameran maya pertama seumpamanya yang menyepadukan padanan perniagaan, e-pasaran, risikan pasaran dan penyelesaian perniagaan berkaitan perdagangan dengan lancar.

Platform itu menyasar untuk merevolusikan cara pengeksport Malaysia dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terhubung dengan pasaran antarabangsa, melengkapkan mereka dengan platform dan pandangan yang diperlukan untuk berkembang maju dalam pasaran global.

Menurut MATRADE pelancaran utama, dengan kerjasama Nazsoft Tech Sdn Bhd, akan disempurnakan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata MDT mewakili detik penting dalam ekosistem perdagangan Malaysia, menawarkan akses yang tidak pernah ada sebelum ini kepada pembeli global untuk perniagaan serta memperkasakan mereka untuk berkembang, berskala dan berjaya dalam ekonomi digital yang semakin kompetitif.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata MDT adalah lebih daripada sekadar platform dan merupakan pemangkin kepada perubahan.

“Menerusi langkah memanfaatkan teknologi canggih, kami membolehkan perniagaan Malaysia menyesuai dengan permintaan pasaran global.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen MATRADE untuk memupuk perdagangan digital dan melengkapkan perniagaan kita dengan platform yang sesuai untuk cemerlang di peringkat antarabangsa,” katanya.

MDT juga akan mengetengahkan sesi dialog bertajuk ‘Mengharungi Ketidakpastian Global: Strategi Perdagangan Berdaya Tahan untuk Perniagaan Malaysia pada 2025’, untuk membincangkan landskap perniagaan semasa yang sedang berkembang dan menawarkan pandangan mengenai pengembangan eksport Malaysia melalui transformasi digital dan lain-lain.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400909