Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup rendah pada Selasa, menjejaki momentum penurunan dalam pasaran niaga hadapan getah serantau apabila sentimen global dipengaruhi kebimbangan berkaitan kelembapan ekonomi dunia dan peningkatan perang perdagangan, kata peniaga.
Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun mencecah paras terendah dalam tempoh tujuh bulan pada Selasa berikutan kekukuhan yen, manakala tekanan deflasi yang meningkat telah menambah kebimbangan mengenai pemulihan ekonomi di negara pengguna utama, China.
Bagaimanapun, penurunan seterusnya di pasaran tempatan dihadkan oleh penyusutan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan kestabilan penanda aras harga minyak mentah memandangkan kebimbangan mengenai kekurangan bekalan getah asli terus menyokong pasaran, katanya kepada Bernama.
Sentimen pasaran juga disokong oleh peningkatan harapan terhadap langkah rangsangan China ketika peniaga menunggu data ekonomi AS untuk petunjuk selanjutnya mengenai ekonomi negara itu.
Lembaga Getah Malaysia melaporkan Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 turun 1.0 sen kepada 883.00 sen sekilogram setakat pukul 3 petang, manakala susu getah pukal susut 1.5 sen kepada 702.00 sen sekilogram.
-- BERNAMA