DUNIA

Singapore Airlines Larang Penggunaan, Pengecasan Bank Kuasa Mulai 1 April

12/03/2025 01:59 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 12 Mac (Bernama) -- Pelanggan Singapore Airlines (SIA) tidak akan dibenarkan menggunakan bank kuasa atau mengecasnya melalui port USB dalam pesawat sepanjang tempoh penerbangan mereka berkuat kuasa 1 April.

Dalam satu pemakluman yang dikeluarkan pada Rabu, ia menyatakan bahawa Kumpulan SIA mematuhi Peraturan Barangan Berbahaya Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mengenai pengangkutan bank kuasa, yang diklasifikasikan sebagai bateri litium.

"Ini bermakna bank kuasa mesti dibawa dalam bagasi kabin pada semua penerbangan SIA dan tidak dibenarkan dalam bagasi berdaftar," kata syarikat penerbangan itu.

Ia juga menyatakan bahawa pelanggan boleh membawa bank kuasa dengan kapasiti sehingga 100Wh tanpa kelulusan khas, manakala mereka yang antara 100Wh dan 160Wh memerlukan kelulusan syarikat penerbangan.

Scoot, anak syarikat tambang rendah SIA, turut mengeluarkan kenyataan serupa di Facebook.

Langkah terbaru SIA itu menyusuli sekatan serupa yang diperkenalkan beberapa syarikat penerbangan di Asia susulan risiko kebakaran dalam pesawat.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2401534