EKONOMI

VentureTech Labur Dalam Pomen Untuk Pacu Pendigitalan Penyelenggaraan

12/03/2025 09:39 PM

PUTRAJAYA, 12 Mac (Bernama) -- VentureTech Sdn Bhd telah mengumumkan pelaburan strategik dalam Pomen Autodata Sdn Bhd untuk memacu transformasi digital dalam penyelenggaraan armada dan pengurusan tenaga kerja. 

 Ketua Pegawai Eksekutif VentureTech Ahmad Redzuan Sidek berkata perkongsian itu akan mempercepatkan pertumbuhan Pomen selain meningkatkan platform inovatifnya, seterusnya mendigitalkan ekosistem untuk perkhidmatan dan operasi yang berkaitan. 

Pomen adalah syarikat Bumiputera yang memiliki kepakaran dalam penyelesaian perisian-sebagai-perkhidmatan (SaaS) yang komprehensif dengan elemen teras untuk kecekapan tenaga kerja serta pengurusan penyelenggaraan, menghubungkan permintaan dan bekalan dalam ekosistem penyelenggaraan. 

“Pelaburan VentureTech akan mengukuhkan keupayaan teknologi Pomen serta memacu pengembangan serantaunya ke Asia Tenggara. Kerjasama ini juga memberi tumpuan ke arah memupuk inovasi, membolehkan Pomen memperbaiki tawaran sedia adanya, mengintegrasikan teknologi baharu dan memperluaskan platformnya bagi memenuhi keperluan industri yang pelbagai.

“Dengan memudahkan pertumbuhan ini, VentureTech mahu meletakkan Pomen sebagai pemimpin dalam transformasi digital, menyumbang dengan ketara kepada ekosistem teknologi yang semakin berkembang,” katanya melalui satu kenyataan.

Ahmad Redzuan berkata pelaburan syarikat itu dalam Pomen menggariskan komitmen VentureTech untuk memupuk transformatif syarikat-syarikat tempatan yang menerajui inovasi digital, kemajuan sosio-ekonomi dan kemampanan alam sekitar.

“Platform canggih Pomen mampu menangani ketidakcekapan dalam ekosistem penyelenggaraan armada serta pengurusan tenaga kerja, memperkasakan perniagaan untuk mengoptimumkan operasi sambil mewujudkan peluang bagi usahawan Bumiputera berkembang maju dalam sektor bernilai tinggi.

"Selain meningkatkan kedudukan pasaran Pomen, perkongsian ini akan menjana pekerjaan berkemahiran tinggi dalam teknologi dan kejuruteraan. Dengan mengukuhkan ekosistem digital termasuk mempromosikan penyelesaian teknologi canggih, kami mahu menyumbang kepada aspirasi Malaysia ke arah menjadi hab inovasi," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pomen, Syed Zulhilmi Tuan Sharif berkata perkongsian dengan VentureTech menandakan satu peristiwa penting bagi Pomen, merealisasikan visinya untuk merevolusikan penyelenggaraan aset dan pengurusan tenaga kerja melalui teknologi inovatif. 

“Dengan sokongan VentureTech, Pomen akan dilengkapi untuk meningkatkan penyelesaian kami, mengembangkan jangkauan syarikat di pelbagai industri dan memenuhi permintaan pelanggan yang semakin melonjak di dalam dan di rantau ini,” katanya. 

Ditubuhkan pada 2018, Pomen telah muncul sebagai pemain utama dalam penyelesaian SaaS bersepadu dengan platform perdana seperti Enfleet dan Engarage. 

Enfleet merupakan platform pengurusan aliran kerja dalam penyelenggaraan aset, yang membolehkan syarikat mempunyai ketelusan terhadap kerja penyelenggaraan aset mereka, manakala Engarage adalah platform pengurusan tenaga kerja bagi penyedia perkhidmatan untuk menguruskan operasi perkhidmatan terakhir.

-- BERNAMA 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2401718