Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 17 Okt (Bernama) -- Peningkatan kes pemerdagangan manusia yang dikaitkan dengan jenayah siber di seluruh Asia telah mencetuskan kebimbangan serantau, mendorong kerajaan-kerajaan mempertingkatkan usaha bersama bagi melumpuhkan rangkaian penipuan rentas sempadan.
Korea Selatan, Thailand dan Vietnam sedang memperhebat kerjasama dengan Kemboja dan Myanmar - yang sering dieksploitasi sebagai pusat kegiatan penipuan oleh sindiket antarabangsa - bagi menangani jenayah dalam talian yang mengancam keselamatan negara.
Kemboja dan Myanmar telah mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan, termasuk menghantar pulang ribuan warga asing yang terlibat dalam operasi haram. Pihak berkuasa di kedua-dua negara itu turut menutup puluhan pusat penipuan dan sindiket pemerdagangan manusia sebagai sebahagian daripada usaha serantau yang diselaraskan untuk membendung jenayah siber.
Naib Menteri Luar Kedua Korea Selatan Kim Jina mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet di Phnom Penh pada Khamis, dengan isu jenayah siber menjadi agenda utama.
“Kami turut membincangkan usaha bersama memerangi jenayah rentas sempadan, khususnya penipuan dalam talian.
“Kemboja dan Korea akan terus bekerjasama untuk mencegah, mengekang dan membanteras penipuan dalam talian dengan lebih berkesan, sekali gus menyumbang kepada pemeliharaan keamanan, ketenteraman awam dan keselamatan sosial,” lapor portal dalam talian Fresh News memetik kenyataan Manet.
Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan Korea Selatan menganggarkan sekurang-kurangnya 1,000 rakyat Korea Selatan terperangkap di pusat-pusat penipuan di Kemboja, lapor The Korea Herald.
Kemboja sedang bersiap sedia untuk mengusir 59 rakyat Korea Selatan yang disyaki terlibat dalam jenayah siber.
Suruhanjaya Kemboja bagi Memerangi Penipuan Dalam Talian telah menumpaskan puluhan pusat yang menjalankan operasi haram dan melumpuhkan kumpulan pemerdagangan manusia.
Kira-kira 3,500 suspek dari 20 negara telah ditahan di seluruh negara antara Jun dan Oktober sebagai sebahagian daripada operasi besar-besaran.
Pihak berkuasa keselamatan di Myanmar pula telah menghantar pulang lebih 10,000 warga asing yang diambil bekerja oleh pusat penipuan dalam talian pada tahun ini.
Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul, semasa lawatannya ke Laos pada 16 Okt, menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan negara jirannya itu bagi menangani jenayah rentas sempadan termasuk penipuan dalam talian dan pemerdagangan manusia, menurut laman sesawang Pejabat Hal Ehwal Luar Thailand.
Laos yang dikelilingi daratan dan bersempadan dengan China, Kemboja, Myanmar, Thailand serta Vietnam, turut berdepan dengan masalah pusat penipuan, khususnya di Zon Ekonomi Khas Segi Tiga Emas, selain aktiviti pemerdagangan manusia.
Di Hanoi, jurucakap Kementerian Luar Pham Thu Hang pada Khamis berkata kerajaan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Kemboja untuk melindungi rakyatnya dan mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan.
“Kementerian telah mengarahkan perwakilan diplomatik Vietnam di Kemboja supaya memantau rapi situasi dan menyediakan rancangan kontingensi yang diperlukan,” katanya seperti dipetik oleh Vietnam News.
Di Jakarta, Kementerian Komunikasi dan Digital Indonesia telah menyekat hampir 24,000 akaun bank yang disyaki mempunyai kaitan dengan perjudian dalam talian, lapor Agensi Berita Antara pada Selasa.
Kementerian itu mengenal pasti lebih dua juta kandungan berkaitan perjudian dalam talian dari Oktober tahun lalu hingga September tahun ini, menurut agensi berita itu.
Peningkatan pesat aktiviti penipuan dalam talian telah mencetuskan kebimbangan di seluruh rantau ini.
Ramai lelaki dan wanita muda, terutamanya dari negara membangun, terpedaya dengan janji sindiket terancang yang menawarkan pekerjaan bergaji tinggi dan faedah lumayan, namun akhirnya terperangkap dalam keadaan kerja yang menyedihkan di pusat penipuan.
-- BERNAMA