KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Dua trak membawa 40 tan tepung daripada lima trak bantuan kemanusiaan yang dihantar Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) berjaya memasuki Gaza melalui sempadan Rafah, semalam.
Pengurus Kanan Projek MyCARE Kamarul Halim Sakrani berkata perkara itu dimaklumkan rakan kerjasama mereka di Gaza, NGO Al-Khyr, dan semua bantuan berkenaan akan ditempatkan di sebuah gudang di selatan wilayah itu, manakala agihan bantuan dipantau Pengurus Besar MyCARE di Gaza, Dr Ziad Shehada.
“Susulan pembukaan Lintasan Rafah di Semenanjung Gaza pada Rabu lepas, MyCARE menghantar lima trak bantuan kemanusiaan terdiri daripada empat trak membawa 80 tan tepung dan satu trak membawa 1,000 pek makanan dengan keseluruhan nilai berjumlah RM360,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, selepas pembukaan pintu sempadan itu, MyCARE turut merangka beberapa projek kemanusiaan di Gaza melalui dua fasa bermula Oktober 2025 hingga September 2026, yang akan diketuai Dr Ziad.
Katanya antara projek yang dirancang ialah penyediaan klinik bergerak, pusat perlindungan sementara, penyelenggaraan telaga air, pembinaan telaga air dilengkapi panel suria, pemulihan prasarana pendidikan, penagihan pek makanan,bekalan air minuman bersih dan susu bayi.
Kamarul Halim berkata inisiatif itu turut merangkumi projek penjanaan pendapatan penduduk setempat serta program pemulihan jangka pendek dan panjang mengikut keperluan semasa di lapangan.
“Keseluruhan projek bernilai RM9 juta itu dijangka mengambil masa antara tiga hingga enam bulan untuk dilaksanakan, termasuk enam bulan pertama bagi pelaksanaan bantuan segera seperti agihan pek makanan, pusat perlindungan sementara, air minuman bersih dan susu bayi.
“Bagi enam bulan seterusnya, tumpuan diberikan kepada projek pemulihan jangka panjang termasuk penyelenggaraan telaga air, pemasangan panel suria dan membaik pulih kemudahan pendidikan,” katanya.
-- BERNAMA