Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Ringgit dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan di tengah-tengah sentimen bercampur-campur dengan faktor domestik yang kukuh terus menyokong unit tempatan manakala perdagangan global yang tidak menentu menjejaskan sentimen pasaran.
Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit dijangka berada dalam jajaran RM4.20 dan RM4.22 pada minggu depan.
“Anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga tahun ini lebih tinggi daripada jangkaan pada 5.2 peratus berbanding unjuran 3.9 peratus sebelum ini.
"Pada masa yang sama, Belanjawan 2026 juga menunjukkan komitmen kerajaan untuk mengekalkan disiplin fiskal. Ini memberi isyarat yang betul kepada pasaran. Jadi, ia sepatutnya memberi sokongan positif kepada ringgit dalam tempoh sederhana hingga jangka panjang," katanya kepada Bernama.
Walaupun faktor domestik kelihatan menyokong ringgit, faktor luaran akan terus mempengaruhi sentimen pasaran, terutamanya dengan ketegangan perdagangan yang berterusan antara Amerika Syarikat dan China.
Bagi asas mingguan, ringgit menyusut berbanding dolar AS, ditutup rendah sedikit kepada 4.2240/2275 daripada 4.2200/2260 pada minggu sebelumnya.
Unit tempatan juga ditutup rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Ringgit berkurangan berbanding yen Jepun kepada 2.8218/8244 daripada 2.7618/7659 pada minggu sebelumnya, turun berbanding euro kepada 4.9421/9462 daripada 4.8838/8907 dan susut berbanding pound Britain kepada 5.6741/6788 daripada 5.6084/6164.
Unit tempatan turut menyusut berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.
Ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 3.2635/2665 daripada 3.2494/2543 pada minggu sebelumnya, susut berbanding baht Thailand kepada 12.9301/9471 daripada 12.8942/9184, merosot berbanding peso Filipina kepada 7.26/7.27 daripada 7.24/7.26 dan diniagakan tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 254.6/254.9 daripada 254.6/255.1 sebelumnya.
-- BERNAMA