AM

Banjir Kilat: Dua PPS Di Kulim Ditutup

19/10/2025 05:02 PM

KULIM, 19 Okt (Bernama) -- Dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini yang dibuka bagi menempatkan penduduk terjejas banjir kilat sejak Jumaat, ditutup sepenuhnya hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata PPS Dewan Kampung Paya Tok Betok, Sungai Ular dan PPS Surau Taman Sang Kancil, Lunas yang menempatkan 158 mangsa daripada 45 keluarga ditutup serentak 2 petang tadi.

"Keadaan cuaca ketika ini masih tidak menentu dan penduduk dinasihatkan agar sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa untuk segera berpindah ke PPS," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata orang awam yang memerlukan bantuan kecemasan boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kulim di talian 04-4903746 atau talian kecemasan 999.

Media sebelum ini melaporkan penduduk di Kampung Sungai Limau, Kampung Batu 5, Kampung Batu 6 dan Kampung Paya Tok Betok di daerah ini dipindahkan ke PPS berkenaan pada Sabtu selepas kediaman mereka dinaiki air akibat hujan lebat bermula petang Jumaat.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2480642