KULIM, 20 Okt (Bernama) -- Seorang mangsa yang mengalami kecederaan serius susulan kebakaran mercun di Paya Besar dekat sini malam tadi, dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang, manakala lima lagi yang cedera masih dirawat di zon merah Hospital Kulim di sini.
Pegawai Khas kepada Menteri Dalam Negeri Saiful Ambar Abdullah Ambar berkata daripada keseluruhan 22 mangsa yang dilaporkan cedera, beliau berkesempatan menziarahi lima mangsa yang masih menerima rawatan di hospital.
“Susulan tragedi yang berlaku malam tadi, hari ini saya melawat mangsa. Ada lima yang masih menerima rawatan di zon merah termasuk seorang kanak-kanak perempuan, seorang wanita dan tiga lelaki.
“Setakat maklumat yang diterima ada 22 mangsa, kita akan cuba jejak mangsa-mangsa lain yang telah pulang selepas mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa kebakaran mercun di Hospital Kulim dekat sini, hari ini.
Saiful Ambar berkata beliau tidak menolak kemungkinan ada mangsa lain yang mengalami kecederaan ringan dan telah mendapatkan rawatan sendiri di klinik.
“Kita akan cuba bantu mangsa yang terlibat demi kebajikan mereka. Mengenai insiden berkenaan saya rasa sebaiknya tunggu laporan siasatan pihak berkuasa,” katanya.
Sementara itu, seorang mangsa Nurzaina Ismail, 47, berkata dia yang tinggal berdekatan kawasan kejadian, keluar untuk melihat kemeriahan sambutan perayaan Deepavali malam tadi.
“Saya dengan keluarga masa kejadian berlaku, kemuncak sambutan mereka bakar mercun. Tiba-tiba selepas itu saya rasa sakit pada perut, rasa panas pada perut dan kaki, rupanya dah cedera.
“Kesannya saya tidak boleh berjalan dan anak saya terus hantar ke hospital. Tahun lepas pun saya pergi tengok sebab dekat dengan rumah, ini kali pertama kejadian macam ini berlaku,” katanya.
Seorang lagi mangsa R. Pasupathi, 74, berkata dia yang baharu melalui kawasan berkenaan pada jarak kira-kira 50 meter turut terkena serpihan daripada mercun yang terbakar.
“Saya berada di belakang kereta, terdengar bunyi meletup dan serpihan kena pada tangan saya, terus rasa sakit.
“Nak rasa kemeriahan raya, tapi bila kena macam ini rasa tak gembira sambut raya,” katanya.
Dalam kejadian pada 12.45 tengah malam tadi, sebanyak 22 orang awam cedera termasuk seorang lelaki mengalami kecederaan serius pada dahi, dalam insiden letupan akibat pembakaran mercun di Paya Besar dekat sini.
Ketua Polis Daerah Kulim Supt Zulkifli Azizan dilaporkan berkata kejadian disedari anggota yang membuat rondaan pencegahan jenayah yang melihat kesesakan lalu lintas dengan kehadiran orang ramai di tepi jalan Paya Besar.
-- BERNAMA