MELAKA, 19 Okt (Bernama) -- Pelancaran Rancangan Strategik Menteri-Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) 2026-2030 bakal menjadi panduan utama dalam memperkasakan kerjasama Islam serantau yang lebih dinamik, progresif dan berdaya saing.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dalam kenyataan berkata hal itu juga secara tidak langsung membuktikan kejayaan yang dicapai sebelum ini terutamanya dalam aspek pelaksanaan dasar, pengurusan institusi agama, penyelarasan takwim hijri dan pembangunan sistem pengurusan halal yang semakin efisien.
"Pertemuan MABIMS kali ke-21 ini bukan sekadar forum serantau tetapi ia lambang ukhuwah Islamiah dan komitmen bersama antara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura.
"Penganjuran MABIMS kali ini juga diyakini akan terus memperkukuh sinergi serantau demi kesejahteraan ummah dan masa depan yang lebih gemilang dengan komitmen yang dizahirkan adalah untuk memastikan platform MABIMS terus relevan, dinamik dan berdaya saing dalam menghadapi pelbagai cabaran," katanya.
Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat dan Pertemuan Tidak Rasmi MABIMS ke-21 serta Pelancaran Rancangan Strategik MABIMS 2026-2030 di Ayer Keroh di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ugama Brunei Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Agama Indonesia Prof. Dr. KH. Nasaruddin Umar, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan Kementerian Ehwal Dalam Negeri Singapura Prof. Madya Dr. Muhammad Faishal Ibrahim dan Menteri Kanan Misi Khas (Hal Ehwal Islam) Kemboja selaku negara pemerhati Neak Oknha Datuk Dr. Othsman Hassan.
Dalam pada itu, selain pertemuan MABIMS dan Mesyuarat SOM ke-49, pelbagai aktiviti turut diadakan antaranya Forum Perdana Ehwal Islam Serantau, Program Komuniti ‘Semanis MABIMS, Seharum Serantau’, Festival Halal Antarabangsa Melaka (MIHF’25), Sidang Kemuncak Halal MABIMS 2025 dan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Halal MABIMS.
Mohd Na'im turut menzahirkan rasa bangga dengan pertemuan tersebut dan berharap MABIMS terus menjadi platform unggul yang memartabatkan Islam sebagai teras kemajuan dan kesejahteraan serantau.
"Pertemuan seterusnya akan berlangsung di Brunei Darussalam pada 2027 dan semoga pertemuan ini akan membuahkan hasil yang bermakna dan memberikan impak berpanjangan buat seluruh umat Islam di rantau ini," katanya.
-- BERNAMA