DUNIA

Kutipan Filem “Shenzhou-13” Cecah 50 Juta Yuan

21/10/2025 05:17 PM

 

BEIJING, 21 Okt (Bernama-CMG) -- Filem dokumentari “Shenzhou-13” meraih kutipan tiket berjumlah 50 juta yuan (RM29.68 juta) selepas 46 hari ditayangkan di seluruh negara China.

Sejak mula ditayangkan pada 5 September, filem yang diinspirasikan daripada penggambaran oleh kru kapal angkasa Shenzhou-13 itu telah menjadi antara perbualan utama dalam kalangan penonton domestik.

Filem berkenaan memberikan kesan mendalam kepada penonton dengan paparan suasana angkasa lepas yang menakjubkan serta pengalaman angkasawan yang menyentuh hati.

Diterbitkan oleh Kumpulan Media China (CMG), “Shenzhou-13” mengetengahkan cerita tiga orang angkasawan China yang bertugas di stesen angkasa lepas selama enam bulan.

Selain memperoleh jumlah tontonan sebanyak 1.3 juta di dalam negeri, filem itu juga diperkenalkan sehingga ke 35 negara antaranya Amerika Syarikat, Britain, New Zealand dan Kemboja untuk sesi tayangan khas.

“Shenzhou-13” turut ditayangkan sempena perasmian Kongres Astronautik Antarabangsa ke-76 (IAC 2025) di Australia dan Dialog Hak Asasi Manusia Glion ke-11 di Switzerland.

– BERNAMA-CMG

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481127