DUNIA

Maghribi Rangkul Piala Dunia B-20 Pertama Selepas Tundukkan Argentina

20/10/2025 06:18 PM

ISTANBUL, 20 Okt (Bernama-Anadolu) -- Pasukan bawah 20 tahun (B-20) Maghribi menjuarai Piala Dunia B-20 buat julung kalinya pada Ahad selepas menewaskan Argentina selaku juara terbanyak kejohanan itu 2-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Chile, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Yassir Zabiri meletakkan skuad Atlas Cubs di depan pada minit ke-12 menerusi sepakan percuma sebelum menggandakan jaringan pada minit ke-29 melalui sepakan voli.

Argentina cuba bangkit tetapi dinafikan oleh pertahanan Maghribi yang lebih berdisiplin serta aksi cemerlang penjaga gol Ibrahim Gomis yang menyelamatkan percubaan berbahaya lawan pada minit ke-83.

Skuad kendalian Mohamed Ouahbi itu kekal lebih tersusun dan mengawal permainan sehingga wisel penamat untuk memastikan kemenangan bersejarah tersebut.

Maghribi mara ke final selepas menewaskan Sepanyol, Brazil, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Perancis. Kemenangan itu menjadi satu lagi pencapaian besar dalam tahun gemilang bola sepak Maghribi.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2480864