Oleh Rohana Nasrah dan Rozlin Rosmin
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Okt (Bernama) -- Sebanyak 20 wartawan wanita dari Malaysia, Brunei Darussalam dan Indonesia menyertai bengkel serantau selama tiga hari bermula hari ini, bagi memperkukuh keupayaan pelaporan krisis dan memupuk kesedaran keselamatan dalam kalangan pengamal media wanita.
Bertemakan ‘Memperkasa Wartawan Wanita dalam Pelaporan Krisis’, program itu menghimpunkan wartawan wanita daripada media cetak, penyiaran dan dalam talian daripada ketiga-tiga negara, yang dianjurkan oleh Institut Pembangunan Penyiaran Asia Pasifik (AIBD).
Ketua Pegawai Eksekutif AIBD G Philomena berkata wartawan wanita mempunyai tanggungjawab untuk menjaga diri bagi mengekalkan ketahanan diri ketika berdepan tekanan berterusan, pendedahan terhadap berita negatif serta ancaman dalam talian, menjadikan penjagaan diri aspek penting dalam melaksanakan tugasan pelaporan dan penulisan berita yang mencabar.
“Kami menggalakkan peserta bengkel ini untuk berkongsi kisah masing-masing kerana sesi ini bukan sekadar latihan tetapi juga platform untuk perkongsian pengalaman. Kami akan meneliti penilaian risiko, komunikasi krisis dan kesedaran kesihatan mental,” katanya melalui aplikasi Zoom semasa majlis pembukaan bengkel itu di sini hari ini.
Philomena yang juga Pengarah Sekretariat AIBD berkata pelaporan berita melibatkan tragedi dan kekacauan boleh memberi kesan kepada kesihatan mental wartawan wanita dan perkara itu perlu diakui serta ditangani dengan sewajarnya.
“Ini adalah aspek yang perlu dilatih oleh wartawan wanita bagi memastikan mereka kekal peka dari segi mental, berdaya tahan dan mampu menghasilkan laporan terbaik. Ia sebahagian daripada risiko yang datang dengan profesion kewartawanan,” katanya, sambil menambah kursus berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Program Antarabangsa bagi Pembangunan Komunikasi (IPDC) UNESCO dan Radio Televisyen Brunei (RTB).
Dua wartawan daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) iaitu Rohana Nasrah dari Biro Sabah dan Rozlin Rusharmeen Rosmin dari Biro Sarawak turut menyertai bengkel berkenaan.
Sementara itu, Pemangku Pengarah RTB Cheong Chee Keong dalam ucapan alu-aluannya berkata bengkel itu diadakan pada masa kritikal kerana wartawan wanita di seluruh Asia Tenggara terus memainkan peranan penting dalam menyampaikan laporan yang tepat, pantas dan berasaskan nilai kemanusiaan daripada barisan hadapan krisis.
“Bagaimanapun, banyak yang menghadapi risiko lebih tinggi termasuk ancaman terhadap keselamatan diri, gangguan serta kekurangan sokongan institusi dan langkah keselamatan yang sensitif gender.
“Sebab itulah inisiatif ini sangat bermakna. Sepanjang tiga hari akan datang, bengkel ini akan memberi kemahiran praktikal dalam protokol keselamatan, pengurusan trauma dan pelaporan yang inklusif gender,” katanya.
Cheong berkata bengkel itu juga bertujuan memperkukuh keupayaan peserta menggunakan alat kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab bagi amaran krisis, penceritaan beretika serta pengesahan kandungan visual, di samping menyediakan peluang untuk berkongsi pengalaman, membina rangkaian dan mencetus perubahan sistemik tentang bagaimana bilik berita boleh menyokong wartawan wanita dengan lebih baik, khususnya ketika membuat liputan krisis.
Selaras dengan Safety Guide for Journalists terbitan UNESCO dan komitmen berterusan AIBD terhadap keselamatan wartawan, beliau berkata program itu turut bertujuan membekalkan peserta bukan sahaja untuk melapor dengan lebih selamat dan berkesan tetapi juga menjadi ejen perubahan dalam organisasi masing-masing.
“Kami harap sebaik tamat bengkel ini, para peserta dapat membawa pulang pelan tindakan konkrit sama ada dalam menambah baik protokol keselamatan bilik berita, melaksanakan amalan kebersihan digital atau mewujudkan rangkaian sokongan rakan sebaya bagi memperkukuh daya tahan dan budaya keselamatan dalam organisasi media masing-masing,” katanya.
-- BERNAMA