SUKAN

ACLE: JDT Catat Kemenangan Sulung, Tumpaskan Chengdu Rongcheng 2-0

21/10/2025 08:27 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Gergasi bola sepak tanah air Johor Darul Ta’zim (JDT) mecatatkan kemenangan sulung saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2025/26, dengan menumpaskan kelab China Chengdu Rongcheng FC, 2-0, di Stadium Bola Sepak Phoenix Hill Sports Park, Chengdu, hari ini.

JDT tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila hantaran tumit belakang dari Jairo da Silva menemui Oscar Arribas, sebelum tonggak pertahanan kelahiran Sepanyol itu melepaskan sepakan leret ke gawang kiri tuan rumah pada minit kelima.

Juara Liga Super 11 kali berturut-turut itu, berpeluang untuk menambah gol kedua, namun penjaga gol Liu Dianzuo bertindak cemerlang menafikan rembatan deras Jairo pada minit ke-35, disusuli percubaan kaki kiri Ager Aketxe pada minit ke-44.

Bersambung babak kedua, “Harimau Selatan” yang terus menekan lawan menggandakan jaringan menerusi sepakan voli rendah pemain tengah dari Sepanyol Nacho Mendez, selepas memanfaatkan umpanan tonggak pertahanan kiri Jonathan Silva pada minit ke-62.

Usaha Chengdu Rongcheng untuk sekurang-kurangnya mencari gol sagu hati tidak berhasil, selepas percubaan pemain pertahanan dari Belanda Timo Letschert pada minit ke-70, disusuli sepakan penyerang De Erjiaduo pada minit ke-84 melambung tinggi dan kedudukan tersebut kekal sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil.

Bulan lepas, pasukan bimbingan Xisco Munoz memulakan kempen ACLE bagi zon timur musim ini dengan langkah kiri apabila tumpas 1-2 kepada kelab Thailand Buriram United dan seri tanpa jaringan bersama pasukan dari Jepun Machida Zelvia.

Selepas tiga perlawanan, juara Piala Konfederasi Bolasepak Asia 2015 itu melonjak ke kedudukan keempat dengan empat mata dari tangga ke-11, manakala Chengdu Rongcheng kendalian Jung-Won Seo jatuh ke tangga kelapan selepas mengumpul tiga mata.

JDT seterusnya dijadual melayan kunjungan satu lagi kelab dari China Shanghai Shenhua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, 5 Nov ini.

Hanya lapan pasukan terbaik mara ke pusingan 16.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481239