SIBU, 21 Okt (Bernama) -- Transformasi industri getah Sarawak menerusi kerjasama komuniti dan korporat akan membuka lembaran baharu dalam memperkukuh sektor komoditi di negeri ini, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.
Beliau berkata inisiatif yang diterajui oleh Lembaga Industri Getah Sarawak (SARIB) itu bertujuan meningkatkan produktiviti, memulihkan kebun getah terbiar dan memperkenalkan penggunaan teknologi moden untuk menjadikan industri getah lebih mampan dan berdaya saing.
“Transformasi industri getah bukan sesuatu yang mudah, namun ia perlu dilaksanakan untuk memperkukuh kelestarian dan sumbangan industri getah di Sarawak,” katanya di Majlis Perasmian Projek Transformasi Industri Getah Sarawak dan Pengukuhan Projek Getah Komuniti Nanga Skuau, Selangau dekat sini hari ini.
Menurut Rundi, Sarawak mempunyai keluasan tanaman getah sebanyak 161,000 hektar yang dimiliki oleh 98,643 pekebun kecil, dengan potensi pengeluaran tahunan sebanyak 161,000 tan metrik bernilai kira-kira RM483 juta sekiranya diurus dan ditoreh sepenuhnya.
Setakat September 2025, sebanyak 25,000 tan metrik getah telah didagangkan di Sarawak dengan nilai jualan RM75 juta, berbanding 20,000 tan metrik pada tahun sebelumnya, menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.
Beliau berkata SARIB melaksanakan dua strategi utama untuk memperkukuh industri getah negeri iaitu Program Rehabilitasi Kebun Getah Sedia Ada dan Konsolidasi Kebun Getah Terbiar.
Di bawah Program Rehabilitasi Kebun Getah Sedia Ada, sebanyak 1,000 hektar akan dipulihkan dari 2025 hingga 2026 dengan peruntukan RM4 juta melibatkan penggunaan teknologi agronomi terkini seperti baja organik, vitamin dan pemulihan tanah.
Bagi Konsolidasi Kebun Getah Terbiar, kawasan seluas 50,000 hektar disasarkan untuk diperkukuh melalui konsep Kerjasama Korporat-Komuniti-Awam yang dijangka menghasilkan 7,500 tan metrik getah sebulan bagi menampung keperluan tiga kilang di Sarawak.
Inisiatif ini juga bakal menjana pulangan dalam bentuk sewaan, dividen, bantuan CSR dan peluang pekerjaan dengan gaji sekitar RM2,000 sebulan untuk komuniti tempatan.
Beliau turut menekankan kerjasama antara SARIB, KMJ Nusantara Sdn Bhd dan Ahli Jawatankuasa Agropolitan Skuau (AJAS) dalam memperkenalkan Sistem Torehan Pintar (ITS) yang dibangunkan oleh KMJ Nusantara.
Teknologi yang membolehkan aktiviti penorehan dilakukan pada bila-bila masa tanpa bergantung kepada cuaca seperti amalan tradisional akan meningkatkan hasil dan memudahkan pekebun,” katanya.
Projek itu akan dikembangkan ke kawasan lain seperti Agropolitan Ulu Awik dan Sibuti yang diusahakan bersama pihak swasta menerusi konsep CCPP.
SARIB turut bekerjasama dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk mengadaptasi piawaian Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) bagi memastikan produk getah Sarawak mematuhi keperluan pasaran global seperti Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).
Selain itu, SARIB akan memperkenalkan sistem transaksi digital RRIMNiaga untuk memudahkan urusan jual beli dan penyaluran bantuan seperti Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) dan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada pekebun kecil.
Rundi turut menegaskan bahawa pokok getah bukan hanya bernilai dari segi hasil lateks, tetapi juga mempunyai potensi tinggi dalam industri perabot dan penanaman cendawan.
“Permintaan kayu getah terutama dari China dan Eropah semakin meningkat dan SARIB bersama Perbadanan Kemajuan Perusahaan Industri Kayu Sarawak (STIDC) sedang membangunkan industri perabot berasaskan kayu getah untuk menambah nilai komoditi ini,” tambahnya.
-- BERNAMA